Monday, April 26, 2010

Memori 24-Paya Sok,Temerloh,Pahang

Kampung Paya Sok ,Temerloh adalah sebuah kampung paling hujung didaerah Temerloh.Kampung ini bersempadan dengan Daerah Jerantut.Kalau kita silap cakap ia kadang-kadang bermakna paling akhir atau orang Pahang kata "sot",paling "sot".Ia mungkin betul juga kalau "sot" itu nama asal Kampung Sok.Namun begitu ada juga dikalangan orang kampung mengatakan nama kampung itu Paya Sok adalah berasal dari nama orang asli yang membuka penempatan dikampung itu.Ini ada logiknya juga kerana memang bersebelahan dengan kampung itu terdapat rezab orang asli dan merupakan penempatan hidupan liar yang dikenali sebagai Kerau Game Rezab.Selain dari itu kampung ini popular dengan hidupan liar seperti kijang,rusa,kancil,seladang dan lain-lain bila tiba musim jabatan perhilitan mengeluar lesen memburu yang biasanya dikeluarkan pada pemburu dibulan November setiap tahun.

Saya masih mengingati tentang Haji Din yang juga merupakan cc kepada Encik Nawawi yang pernah saya coretkan adalah merupakan peminat dalam hal pemburuan ini.Saya kadang-kadang merasa juga daging kijang liar ini yang dihantar oleh Encik Nawawi kepada saya.Selain dari itu Kampung Paya Sok juga mengingatkan saya kepada seorang kakak yang juga waris kepada Jamaludin dan saya ,dimana kami ada memawah lembu-lembu kami yang ada kira-kira 50-60 ekor kepadanya untuk diternak dikampung tersebut.Apa yang nak dijadikan cerita ialah lembu-lembu itu telah diserang oleh hawar, maka agak kecewalah saya dan jamaludin kerana ditimpa hawar itu.Baki yang masih selamat pula telah dimaklumkan kepada kami adalah sedikit amat, bahawa ianya tidak dapat dikesan lagi kerana banyak pagar-pagar sudah rosak dan lembu lari entah kemana dan ada kemungkinan pula dibedal oleh sang belang yang berhampiran dengan hutan simpan Kerau itu.Jadi inilah risikonya membela benda hidup yang kita tidak tahu apa yang akan terjadi dihari esok.Mungkin juga kalau kita renong ejaan huruf ESOK itu kalau dibuang E, menjadi SOK.Adakah ini satu kebetulan tentang Kampung Sok yang pernah saya bergaul dan berbudi pada penduduknya itu ?

Dr Aminudin

Friday, April 23, 2010

Memori 23-Batang Air,Sarawak

Batang Air,Sarawak merupakan nama yang tempat yang mula-mula saya kunjungi Sarawak ditahun 1980an.Ketika itu projek haidro-letrik Batang Air,sedang dalam pembinaan.Namun sebagai pegawai agensi kerajaan yang bertugas menjaga tugas Integrasi dan keselamatan saya bersama Encik Ibrahim telah menghadhiri khemah kerja integrasi tersebut.Masa itu perjalanan dari Kucing berjam-jam untuk sampai keBatang Air.Kami tinggal dikhemah yang seakan-akan kem PLKN yang ada diperingkat awal,dimana mandi secara ramai-ramai pada kolah yang besar dan bila sakit perut berebut-rebut bilik tandas.Sungguhpun makanan yang disajikan tidaklah begitu enak bagi tekak saya kerana ianya menu orang Sarawak, namun kerana dalam suasana tepi empangan dan ala hutan masa itu, kami makan dengan penuh selera.Dalam tugas menjaga integrasi masa itu ,saya banyak mengutarakan idea bagaimana kita hendak memupuk integrasi dikalangan ras dinegara ini.Saya ada mencadangkan masa itu ialah dibina pusat penyelidikan (R & D) pelbagai ras, dimana rakyat Malaysia yang berotak geliga pelbagai kaum disatukan dalam sebuah intitusi penyelidikan terutama sekali bagi membangunan negara ini.Banyak yang ketawa dengan cadangan saya itu, namun hingga hari ini belum menjadi realiti lagi.TPM sekarang pun ada masa itu, dia masih muda dan bergiat aktif dalam UMNO ketika itu.Dia mungkin telah lupa peristiwa kami berbengkel diBatang Air itu.

Hari ini saya dapati ,Batang Air telah mempunyai hotel atau resort yang bertaraf lima bintang.Mereka sekarang mungkin tidak mengetahui kami berpuluh tahun dahulu telah meninggalkan jejak kami disitu dan bermain disitu.Saya juga difahamkan pembinaan empangan hidro diBatang Air telah banyak memindahkan penduduk tempatan disitu.Ini akan membolehkan rakyat Sarawak menikmati bekalan api letrik yang saya rasa banyak rumah panjang yang pernah kami lawati dan tidur dimasa itu menikmatinya.Seingat saya Encik Tajadin yang pernah menjadi orang kuat integrasi dan juga GSPS Sarawak ketika itu telah menjelajah keseluruhan Sarawak dengan menaiki helikopter,bot,pajero dan sebagainya berkhidmat untuk Sarawak dan negara dapat mengingati semua itu.Namun ,saya dapati Pasukan Tentera memang wajar mendapat sanjungan dan ganjaran dari pihak kerajaan, tetapi kami yang yang sama-sama memerah otak dan kadang-kadang ikut operasi bersama mereka dilupakan begitu sahaja ?

Dr Aminudin

Wednesday, April 21, 2010

Bangau Tanjung,Temerloh,Pahang

Bangau Tanjung,Temerloh adalah satu tempat yang menarik dan istimewa dalam ingatan saya semasa bertugas diPejabat Daerah dan Tanah Temerloh.Bangau (cattle egret) adalah sejenis burung pemakan ikan yang masih kedapatan diBangau Tanjung,Temerloh.Ini merupakan significat nama tempat ini mendapat namanya.DiBangau Tanjunglah kami mendapati pengusaha ikan patin mula berkembang dan masih semarak hingga kehari ini.Dalam blog saya http://sungaibatuderelong.blogspot.com ada saya coretkan bagaimana saya dengan DO (Nasaruddin) menjadikan industri ikan patin berkembang hinggakan Majlis Daerah Temerloh menamakan bandar Temerloh sebagai Bandar Ikan Patin yang mana saya ulas berkenaan pemilihan nama tersebut bersama pesaingnya Datuk Sudirman.Bangau Tanjung adalah tempat kami bermain dan kakitangan pejabat tanah dan disitu juga kami memulakan pesta berakit diTemerloh.Kami membuat rakit dan kemudian menghiasnya secantik mungkin.Saya telah ditugaskan mendapatkan sponser bagi rakit kami, SO Sabri,CC Baha,Embong dan kakitangan saya yang lain bertungkus lumus menyiapkan rakit tersebut diBangau Tanjung yang pasirnya cantik dan bersih tempat kami bergotong-royong dan kadang-kadang saya terlena masa rihat kerana kepenatan.

Bila hari pertandingan rakit dijalankan kami telah menang dan pertandingan itu berakhir dikawasan tambatan jeti lama, Temerloh.Hari ini pesta berakit Negeri Pahang telah diadakan dari Lipis hinggalah kePekan dengan melalui Temerloh.Jadi nampaknya idea kami dahulu itu telah berkembang dan menjadi acara tahunan berakit Negeri Pahang.Bangau Tanjung,saya harap dapat dibangunkan sebagai projek Homestay yang saya lihat diTemerloh ada dijayakan oleh Cikgu Shahriman dari Kerinau.Jadi orang macam SO Sabri yang ada tanah diBangau Tanjung bolehlah membuat projek Homestay dengan sedikit pembaikan berbanding projek Homestay yang lain iaitu menyediakan perahu-perahu kepada para pelancung bagi menyusuri Sungai pahang dan menjalankan aktiviti melihat gajah atau mendaki Gunung Senyum sebagai satu pakage Homestay tersebut.Produk makanan selain ikan patin boleh juga dicubakan kepada pelancung seperti penyediaan membuat lemang,masak ikan dalam buluh,nasi berulam,ikan salai,jeruk buah perah,jeruk buah kepayang dan lain-lain.Begitu jugalah kubur Datuk Sudirman perlu dijaga dan diurus bagi kemudahan peminat melawatinya dari seluruh pelusuk tanah air.Saya kadang-kadang amat teruja mendengar lagu Basikal Tua oleh Sudirman yang melelong-lelong diBangau Tanjung sekiranya beliau masa ada.

Aminudin PhD

Batu Sawar,Temerloh,Pahang

Batu Sawar,Temerloh adalah kampung yang agak jauh dan terpencil dari Bandar Temerloh semasa saya bertugas diTemerloh.Namun begitu saya berkesempatan melawat dan meninjau perkampungan tersebut semasa berkhidmat diPejabat Daerah dan Tanah Temerloh.Dimana saya terpaksa melalui jalan Felda-Felda Jengka dan kekawasan sekitar Gunung Senyum dan barulah sampai keKampung Batu Sawar.Batu Sawar kalau mengikut sasterawan Zakarian Hitam banyak nama kampung dinegeri Pahang bernama Batu Sawar.Diantaranya Batu Sawar diKechau ,Lipis.Batu Sawar diPulau Manis,Pekan.Batu Sawar diBatu Talam,Raub dan Batu Sawar, diHulu tembeling,Jerantut.Mengikut Zakaria Hitam juga, Batu Sawar mendapat namanya kerana sawar yang dibuat oleh Sang Kelembai telah menjadi batu.Sawar yang dibuat oleh Sang Kelembai itu adalah untuk menahan tuwar.

Tuwar ini telah saya coretkan dalam blog saya Http://sungaibatuderelong.blogspot.com.Kampung Batu Sawar diTemerloh dimasa saya bertugas itu sedang mengusahakan ladang kelapa sawit dan juga perusahaan akuakultur yang saya percaya ketika ini hasilnya sudah dikecapi oleh para penduduk dikampung tersebut terutama sekali kelapa sawit.Dengan siapnya jambatan Kerdau yang merentasi Sungai Pahang, saya pasti penduduk Batu sawar lebih lekas lagi menghantar hasil pertanian mereka keTemerloh atau keJerantut.Dimana yang selama ini mereka yang hendak keTemerloh melalui jalan darat yang agak jauh iaitu menerusi Kampung Awah.Jadi inilah satu contoh infrastruktur yang dibina oleh kerajaan bagi kemudahan rakyat,namun agak lama juga mereka menantinya dan barulah menjadi kenyataan sekarang.Maka satu kayu pengukur dari segi masa diperlukan bagi mengukur projek kerajaan perlu dibuat mulai sekarang.Inilah ciri-ciri negara maju yang kita idamkan.

Aminudin PhD

Sunday, April 4, 2010

Benta,Kuala Lipis,Pahang

Benta, mengikut Kamus Delta (1988) bermakna bisul bibir atau rumput ternakan (rice grass).Benta yang merupakan pekan kecil yang terletak didalam Daerah Kuala Lipis yang selalu saya lalui ketika menaiki bas untuk keDong,Raub bila saya mengunjugi rumah Pak Cu saya Husin diSekolah Menengah Rendah Dong.Tetapi hari ini pekan itu akan kita "terlepas" kerana telah ada jalan bypass dari Lipis ke Raub, jadi bagi bebudak sekarang akan jadi pada satu masa nanti tidak lagi mengetahu Pekan Lama Benta.Inilah nikmat jalan bagus sekarang yang sedikit sebanyak menghilangkan sejarah lama kita, yang terpaksa kita "bayar".Benta kalau mengikut saudara Mustafa Kamal Haudin (1997) telah dibuka oleh Tok Mengkodi yang mempunyai legendanya sendiri dalam usaha membuka tanah dari Bukit Ngerik hinggalah keBukit Guling Nangka.Benta adalah pekan kegemaran saya melawatnya kerana terdapat pekan sari Benta yang berhampiran dengan perhentian basnya.Disitulah terdapat perjualan gula kabung yang terkenal diPahang hingga kehari ini.

Dahulu semasa saya bebudak gula kabung yang dijual dipekan sari Benta adalah bulat dan besar dan dibaluti oleh dedaun kering.Hari ini telah menjadi kecil dan harganya pun mahal.Disamping itu dipekan sari Benta pun turut menjual buah-buah hutan yang saya minati iaitu salak,kelubi,tampoi,perah,kepayang dan lain-lain.Saya juga gemar makan satey dijual digerai-gerai pekan sari tersebut dan juga mee rebusnya yang enak disitu.Disamping itu untuk menikmati gulai ikan sungai pula saya boleh makan dekedai makan depan Balai Polis ,Benta dimasa dahulu amatlah menyelerakan.Dipekan Benta ini ada beberapa kawan saya seperti Amiruddin (sekarang seorang guru),Rahman (dahulu Pengetua SM Sulaiman,Bentong) dan juga Rahim Kassim (seorang PTD diLabuan) dan lain-lain.Begitu juga Pak Cu Husin ,saya pun pernah menjadi Pengetua SM Benta sebelum beliau bersara.Jadi sepatutnya pekan Benta telah membangun dengan pesat sebab kedudukannya yang strategik, tetapi apakan daya dia kini macam dahulu juga.Inilah apa yang saya perhatikan tentang pembangunan Daerah Kuala Lipis yang mulai ditinggal dari aspek pembangunannya jika dibandingkan dengan Kelantan sekarang, padahal Daerah Kuala Lipis ini dalam perintah BN dan Ibu Negeri Pahang dahulunya.Lipis oh Lipis.

Aminudin PhD