Monday, June 7, 2010

Anekdotku 11-Buah Kampung dan Hutan Yang Saya Idamkan


Semasa dahulu kalau musim buah diKampung Relong dan juga kampung sekitarnya akan kami dapati buah berlambakan dan tidak terusik oleh budak-budak macam kami yang suka memakannya.Namun begitu buah yang tidak bermusim boleh didapati dipekan sari dekat balai-raya disempadan kampung Relong dengan Kampung Bapong itu.Kalau musim buah kami bila lepas sekolah saja jarang ada dirumah kerana akan terjuntai-juntailah kaki diatas pokok buahan.Kerja rumah yang disuruh oleh guru jarang sangat dibuat dan sebagai "sogokan" kepada guru kami bawakan banyak buah-buahan dan berikan kepada mereka, jadi takjadilah mereka marah.Ciku Hawa selalu tersengeh bila melihat kami membawa banyak buahan kepadanya.Tetapi jangan pada Cikgu Deraman yang kadang-kadang dia naik angin dia tidak dimakan sogokan tersebut.Matilah kami kerana tak buat kerja rumah.Namun paling kuat kena pulas perut atau kepada dihantuk pada dinding papan sekolah kami yang telah lali dengan kepala budak-budak nakal kampung Relong ini.

Musim buah, buah yang banyak diwaktu itu ialah durian,manggis,rambutan,langsat,kundang,macang dan bidara.Hari ini buah yang jarang kita lihat ialah jambu bangkok merah,jambu mawar,buah rawa,buah kulur dan pauh siam.Dahulu buah rawa ada sebatang yang pokoknya cukup besar dekat rumah lama kami tepi Gua Bama itu , dah habis kena tebang dan begitu juga pokok bidara yang selalu kami panjat bila balik lepas sekolah pun ada dekat gedung Wan Tekah dekat rumah lama kami itu.Buah yang tumbuh liar pula ialah buah selemba yang bila masak cukup manis ,malah boleh dibuat ganti gula pun sekarang sudah tiada nampak lagi dalam kebun Abang Ahmad.Begitu juga buah taban atau tampoi yang isinya macam buah rambai yang sedap bukan kepalang kalau ada.Masa zaman komunis dahulu ,mereka memakan buah ini sebagai ganti nasi sebab ia mengenyangkan kerana makan secara ditelan bijinya.Begitu jugalah buah kelubi dan buah salak hutan yang banyak dihulu Teris dahulu kini sudah tiada lagi.Buah bangkong pula kalau dibakar dan dibuat gulai tempoyak dengan ikan pupu begitu sedap dan kini telah pupus,mengikut ayah pokok bangkong kalau terbiar dia akan mati kerana ia perlukan perhatian.Buah kepayang memang sedap setelah direbus dengan garam dan kunyit dan boleh dimakan dengan nasi ,masa saya kecil dahulu tetapi kini tiada lagi.Begitu juga dengan buah keranji yang berwarna hitam macam proton perdana V6 itu pun susah nak dapatkan sekarang, dahulu banyak dalam hutan dekat Bukit Perupuk dikampung kami itu.Inilah kenangan buah yang jarang kita temui kini, jadi inilah coretan tentangnya yang dahulu amat banyak dikawasan kami.Kalau saya menemui buah-buah sedemikian begitu girangnya hati saya kerana ia mengusik kenangan dimasa kami bebudak dahulu.

Hadis mengenai makanan dari Abu Hurairah RA, katanya, "Rasululah SAW tidak pernah mencela makanan apa saja pun.Apabila beliau menginginkan (menyukai) sesuatu makanan, dimakannya dan apabila beliau tidak menyukainya dibiarkan saja" (Al-Imam Muslim,Terjemahan Hadis Shahih Muslim,2007:103)

Aminudin Ph.D

No comments:

Post a Comment