Thursday, June 24, 2010
Anekdotku 15-Pesta Mandi Sampat
Peristiwa bagi pesta mandi sampat adalah pesta yang dibuat setelah upacara perkahwinan akan berakhir.Pada kebiasaannya selepas hari pertama perkahwinan dikampung kami iaitu Kampung Relong atau kampung lain disekitarnya.Umpamanya dalam ingatan saya peristiwa ini berlaku diKampung Behrang iaitu pada hari orang hendak memulangkan pinggan mangkuk.Peristiwa ini saya ingat benar pada khenduri kahwin Pakandak Koraini dengan Akak Munah diKampung Behrang.Tuan rumah ialah Aki Ibrahim iaitu bapa saudara kepada ayah saya, Abdul Karim bin Ali.Mengikut ayah saya, Aki Ibrahimlah yang menyuruh ayah saya belajar memondok diPasir Mas, Kelantan bersama Tok Imam Masjid Kampung Relong, Ustaz Muhammad Mandak. Dalam khenduri kahwin ini saya duduk dua-tiga minggu dirumah Aki Ibrahim dimana berulang-alik kesekolah Relong dengan berjalan kaki dari Behrang ke Sekolah Rendah Relong dengan kawan-kawan lain kerana masih bersekolah.
Pesta mandi sampat ini dipanggil pun tidaklah saya tahu akan maknanya, namun pada pendapat saya ialah dari perkataan " tidak sempat " yang bermaksud tidak sempat lari sudah kena sirah dek (oleh) air.Pesta ini akan berlaku bila sesorang memulakannya dengan mengambil air sebaldi atau setempurung atau sebesen air dan kemudian menyiramkannya pada orang lain.Maka budak-budak masa itu termasuk saya mulalah mencari sasarannya.Bila bertemur air dengan air habislah basah, lecur kata orang dikampung kami.Mana yang latah itu membuatkan kami semua begitu terhibur dengan latah mereka apabila kena siram oleh air.Malahan peristiwa kejar mengejar turut berlaku bagi menyimbah orang yang telah menyimbah air kepada mereka.Kini peristiwa ini hanya tinggal kenangan dikampung kami.Bagi saya yang basah lecur ketika itu terus sahaja terjun kedalam gedung Aki Ibrahim yang terdapat dekat rumah itu.Lagipun kegemaran saya kalau datang kerumah Aki Ibrahim itu apabila tiba musim buah yang banyak disitu, disamping berborak dengan Dalilah, anak Aki yang sedarjah dengan saya.Kini Dalilah telah kembali keRahmatullah dan saya panjatkan doa untuknya serta juga pada Aki dan Wan serta juga Pakandak Koraini yang turut kembali kealam yang kekal abadi.Al-Fatihah.
Hadis yang berkaitan dengan kawasan air ialah dari Abu Hurairah RA, katanya Rasulullah SAW bersabda, "Jangan kamu kencing ia air yang tenang, dimana kamu mandi pula disitu " (Al-Imam Muslim, Terjemahan hadis Shahih Muslim, 2007:144)
Dr Aminudin
Thursday, June 17, 2010
Anekdotku 14-Pokok Leletup (Passiflora foetida)
Pokok leletup dimasa saya bebudak diSungaibatu deRelong dahulu memang banyak tumbuh dalam padang Pakangah Man yang selalunya saya ikuti jalannya menuju kerumah Pakencik Abob untuk bermain dengan Miah dan Abang Hamid. Pokok leletup ini adalah tumbuhan yang menjalar dan bila ia berbuah ia boleh dimakan.Rasanya manis dan mempunyai biji yang seakan-akan biji selasih.Bila disebut selasih saya teringatkan minuman kegemaran saya bila bulan puasa.Dikampung kami dahulu bila tiba bulan puasa ada dua jenis kegemaran kami bebudak disungaibatu ketika itu ialah airbatu sirap dan airbatu dibubuh bijih selasih yang telah dikembangkan.Minum air batu sirap batu masa dahulu itu mana ada peti ais macam zaman sekarang.Kami bebudak kena membeli dikedai Aki Subuh dekat padang sekolah kebangsaan Relong itu.Awal-awal lagi kami menunggu untuk membelinya dimana beliau pula membelinya dari bandar Kuala Lipis.Biasanya satu ketul besar 4 inci x 4 inci ais ketul itu dipotong oleh Aki Subuh.Jadi kami beli dibungkus dengan kertas suratkhabar dan disaluti oleh habuk sekam kayu.Itulah ketul ais yang kami bawa balik dan bila sampai dirumah sudah jadi kecil dan cair.Bila sampai dirumah barulah dibuat air sirap atau air batu dicampur biji selasih.Bila menjelang waktu berbuka ia telah cair semuanya namun adalah rasa sejuk air batu.Itulah kami bebudak zaman kami dahulu yang hidup dihulu Lipis, hari ini semua rumah orang kita ada peti sejuk dirumah masing-masing patutlah kita bersyukur pada kemajuan teknologi yang ada.Itupun masih bersungut dan anak-anak yang sudah besarpun takmahu berpuasa bila tiba bulan ramadan.Bila dekat bulan ramadan ini saya teringat semasa saya menumpang dirumah ADO Azhar B, diRompin zaman bujang-bujang dahulu hanya bersahur dengan conflake sahaja ala kadar kerana nak kerjarkan pelarian Vietnam yang telah mendarat diRompin yang seingat saya banyak juga pokok leletup ditepi pandai tersebut yang ranap ditijak oleh mereka.
Hadis berkaitan cara minum ialah dari Anas RA katanya, "Bahawasanya Rasulullah SAW pernah meniup kedalam minuman tiga kali.Kata beliau ," Itu lebih elok, lebih baik dan lebih bagus",Kata Anas " Kerana itu aku meniup tiga kali setiap minum " (Ai-Imam Muslim,Terjemahan Hadis Shahih Muslim,2007:91)
Aminudin Ph.D
Wednesday, June 9, 2010
Anekdotku 13-Kelicap (Arachnothera magna)
Kelicap adalah sejenis burung yang selalu saya perhatikan.Kelicap akan berterbangan hinggap dipohon yang berbunga dimusim buah apabila pokok buah-buahan itu mulai berbunga.Pokok durian kami yang beberapa batang itu terletak tepi paya menghadap Gua Bama itu pasti berbunga lebat.Bila dia berbunga datanglah beburung kelicap menghisap madunya.Kadang-kadang saya merasa cemburu melihat ia menyedut-yedut madu bebunga durian itu.Ini adalah kerana diri saya sendiri amat meminati madu bunga durian yang manis dan enak itu.Apa boleh buat bisik hari saya yang rezeki adalah dari Allah dan terpulanglah pada makhluknya yang rajin mencari rezeki itu.Namun kerana terlalu lebat bunga durian kami itu menjadikan beburung kelicap itu tidak mampu menghabiskan madu-madu bunga durian itu.Selain dari itu kelicap-kelicap tersebut juga suka menghisap madu bunga-bunga jambu bangkok kami yang turut berbunga lebat dimusim berbunga.Bunga jambu bangkok yang kelihatan kemerahan dan mempunyai stigma yang putih sungguh indah pada pandangan saya ketika itu.Tapi apakan daya kami ketika itu tidak ada kamera untuk merakamkannya namun hanya tinggal kenangan dalam benak saya hingga kehari ini.Inilah keindahan ciptaan Illahi yang tiada siapa boleh menandingiNYA.
Kelicap biasanya berparuh panjang yang akan membolehkan ia menghisap madu bebunga, bahagian lehernya biasa berwarna kuning, manakala dada dan perutnya agak kehitaman dan kakinya biasa berwarna orange.Kelicap sebetulnya species yang menghuni tanah tinggi dan kajian mendapati ia terdapat diFraser Hill dan Sungai Buluh.Hari ini dikampung kami,masih saya perhatikan pada sang kelicap ini dan kadang-kadang ia datang dihadapan saya seperti menari-nari dan ada kalanya ia hinggap pada pohon dedalu yang ada peribahasa yang berbunyi seperti dedalu api hinggap dipohon kayu,hinggap dibatang,batangnya mati,hinggap diranting,rantingnya patah.Semua itu bermaksud kalau kita berkawan dengan orang jahat, kita akan rosak.
Hadis nabi berkaitan beburung dari Ibnu Mas'ud RA, katanya " Kita semua bersama Rasulullah SAW dalam suatu perjalanan, lalu beliau berangkat untuk menyelesaikan hajatnya.Kemudian kita melihat seekor burung kecil bersama-sama dua ekor anaknya.Kita lalu mengambil kedua anak burung tersebut.Selanjutnya burung induknya datanglah sambil menaungkan sayapnya seolah-olah mencari sesuatu-Nabi SAW datang kembali dan kemudian bersabda " Siapakah yang mengejutkan burung itu dengan mengambil anaknya? Kembalikanlah anaknya itu kepada ibunya !" (Imam Nawawi,Riyadhus Shalihin,1984:1479)
Aminudin Ph.D
Tuesday, June 8, 2010
Anekdotku 12-Berlaga Ikan Karim dan Spider
Selain permainan tradisional yang penah saya coretkan dalam blog saya http://sungaibatuderelong.blogspot.com iaitu bermain congkeh,batu tangkup,baling botol,perang dan bedil, polis senteri,dengkat dan lain-lain kami juga dimasa kecil bermain berlaga ikan karim dan spider.Ikan karim kami dapat masa itu dipaya-paya dekat Sungai Batu,Bapong dan kalau nak cantik lagi diUlu Teris.Ikan diUlu Teris memang lebih cantik dan kau.Dengan kata lain lebih molek air dihulu lebih lagi cantik ikan karim itu.Memang perkara ini benar kerana ikan kelah yang didapati diTemerloh akan kurang harganya dengan yang kita dapati diUlu Tembeling.Warna ikan kelah diUlu Tembeling lebih garang dan keemasan berbanding yang didapati diJerantut atau Temerloh.Samalah juga dengan ikan karim ini yang bila kami dapat akan disimpan dalam botol putih untuk barang dua-tiga hari barulah boleh dibawa berlaga.MiRoslan, Nuar K,Zahar,Lalmi dan Jefri adalah rakan sebaya saya untuk berlaga ikan karim ini.Pada hari yang ditetapkan kami berjumpa dekat kedai Pak Usof tepi Jalan kePadang Tengku atau ditempat tunggu bas dekat rumah Abang Ahmad Muhammad untuk berlaga ikan karim itu.Kalau hari cuti sekolah pagi lagi kami telah berada ditempat yang saya sebutkan diatas.Mula-mula kami cai gu untuk berlawan. Misalnya ikan saya akan lawan ikan MiRoslan kemudian diikuti oleh ikan Lalmi dengan Jefri dan seterusnya.Ikan yang dilagakan itu dimasukkan kedalam satu botol yang berasingan dan dalam botol itu ikan karim tadi berentap.Jadi ada yang kudung ekor,rebeh kepala, dan malahan ada yang mati.Bagi yang kalah kenalah belanja kuih dekat kedai Pak Usof atau Beh Sitih.
Bagi permainan berlaga spider pula, kami mencari spider itu dalam pokok-pokok kapalterbang, pokok kadok dan pokok keduduk.Spider ini bila dapat kami simpan dahulu dalam kotak mancis sebelum berlaga.Ia akan berlaga macam ikan karim juga hingga ada yang mati.Permainan kedua-dua binatang kecil diatas memangnya menyakitkan binatang tetapi ia tamat begitu saja.Orang tua diKelantan pula berlaga ayam jantan lagi teruk dari kami dan bertaruh pula tu.Kami hanya suka-suka dan menghabiskan masa lapang di hari cuti sekolah.
Mengenai binatang kecil ini saya dapati ada hadis mengenai belalang yang dari Abdullah bin Abi Aufa RA berkata," Kami berperang bersama-sama Rasulullah SAW dalam tujuh peperangan, dimana kami pernah memakan belalang " (Al-Imam Muslim,Terjemahan Hadis Shahih Muslim,2007:70)
Aminudin Ph.D
Monday, June 7, 2010
Anekdotku 11-Keladi (Homalomena sagittifolia)
Keladi (Yam) merupakan sejenis tumbuhan dari kawasan tropika yang ubinya boleh dimakan dan ada juga tidak boleh dimakan.Saya teringatkan keladi ini kerana teringatkan keladi kemahang yang hidup liar dibawah pokok bidara dan manggis dekat rumah lama kami didekat Gua Bama itu.Bagi orang Pahang ,kalau sebut keladi kemahang semua orang tahu ia memang sedap dibuat sayur masam.Sayur masam bermakna sayur keladi kemahang yang dimasak dengan tempoyak dan bagi kami disungai batu, deRelong mencampurkan dengan ikan puyu sebagai pemanisnya.Ia akan jadi lebih manis dan sedap kalau ikan puyu itu baru ditangkap atau dikail.Satu keistimewaan keladi kemahang ini ianya tidak gatal baik daunnya, pelepahnya dan isinya.Sebab ia tidak gatal hingga sekarang pun saya masih tidak mengetahuinya.Manakala namanya keladi kemahang itu mungkin dahulu banyak terdapat atau ditanam orang diKampung Kemahang,Pahang.DiKampung Kemahang ramai juga saudara-mara saya seperti Aki Awang Teh,Ciku Ishak Dawi,Musberi (seorang Peguam) dan lain-lain.Selain dari keladi kemahang ini ada banyak lagi keladi seperti keladi kemoyang yang boleh diambil pokoknya dan daunnya yang direbus dan kemudian diminum airnya bagi membolehkan orang perempuan bersalin.Juga daun keladi tersebut boleh dilayor daunnya dan diletak diatas perut yang boleh melegakan perut kembong.Bagi keladi murai pula boleh dijadikan ubat kencing manis dan juga untuk membunag angin dalam badan dengan merebusnya dan airnya diminum diwaktu malam.Manakala keladi tikus pula dikatakan dapat mengubat barah dengan cara mengambil segenggam ubinya dan dicuci serta kemudian direbus setelah dihancorkan dan diminum pada waktu pagi dan petang.
Beberapa tahun dahulu kalau kita nak merasa makan sayur masam keladi kemahang, kita boleh dapatkan digerai diTanjong Api dan kedai Kama dekat transit ada menyediakan.Tetapi sekarang sudah tiada lagi.Hari ini saya dapati banyak rumah orang diKuantan yang menanam keladi birah yang tidak boleh dimakan sebagai pokok perhiasan.Akhirnya saya akhiri anekdot ini dengan serangkap pantun berkaitan keladi yang dipetik dari Mastika ,Mei 1955 yang berbunyi :-
Keladi air tumbuh diair,minyak bijan dalam cawan,
Matahari sudahlah lahir,Bulan masih diselaput awan.
Hadis yang berkaitan dengan pertanian ialah dari Jabir bin Abdullah RA, katanya dia mendengar Rasulullah SAW bersabda, " Tidak seorang pun Muslim yang becucuk-tanam atau bertani, lalu tanamannya dimakan burung dan lain-lain, niscaya orang itu mendapat pahala kerananya " (Al-Imam Muslim,Terjemahan Hadis Shahih Muslim,2007:162)
Aminudin Ph.D
Anekdotku 11-Buah Kampung dan Hutan Yang Saya Idamkan
Semasa dahulu kalau musim buah diKampung Relong dan juga kampung sekitarnya akan kami dapati buah berlambakan dan tidak terusik oleh budak-budak macam kami yang suka memakannya.Namun begitu buah yang tidak bermusim boleh didapati dipekan sari dekat balai-raya disempadan kampung Relong dengan Kampung Bapong itu.Kalau musim buah kami bila lepas sekolah saja jarang ada dirumah kerana akan terjuntai-juntailah kaki diatas pokok buahan.Kerja rumah yang disuruh oleh guru jarang sangat dibuat dan sebagai "sogokan" kepada guru kami bawakan banyak buah-buahan dan berikan kepada mereka, jadi takjadilah mereka marah.Ciku Hawa selalu tersengeh bila melihat kami membawa banyak buahan kepadanya.Tetapi jangan pada Cikgu Deraman yang kadang-kadang dia naik angin dia tidak dimakan sogokan tersebut.Matilah kami kerana tak buat kerja rumah.Namun paling kuat kena pulas perut atau kepada dihantuk pada dinding papan sekolah kami yang telah lali dengan kepala budak-budak nakal kampung Relong ini.
Musim buah, buah yang banyak diwaktu itu ialah durian,manggis,rambutan,langsat,kundang,macang dan bidara.Hari ini buah yang jarang kita lihat ialah jambu bangkok merah,jambu mawar,buah rawa,buah kulur dan pauh siam.Dahulu buah rawa ada sebatang yang pokoknya cukup besar dekat rumah lama kami tepi Gua Bama itu , dah habis kena tebang dan begitu juga pokok bidara yang selalu kami panjat bila balik lepas sekolah pun ada dekat gedung Wan Tekah dekat rumah lama kami itu.Buah yang tumbuh liar pula ialah buah selemba yang bila masak cukup manis ,malah boleh dibuat ganti gula pun sekarang sudah tiada nampak lagi dalam kebun Abang Ahmad.Begitu juga buah taban atau tampoi yang isinya macam buah rambai yang sedap bukan kepalang kalau ada.Masa zaman komunis dahulu ,mereka memakan buah ini sebagai ganti nasi sebab ia mengenyangkan kerana makan secara ditelan bijinya.Begitu jugalah buah kelubi dan buah salak hutan yang banyak dihulu Teris dahulu kini sudah tiada lagi.Buah bangkong pula kalau dibakar dan dibuat gulai tempoyak dengan ikan pupu begitu sedap dan kini telah pupus,mengikut ayah pokok bangkong kalau terbiar dia akan mati kerana ia perlukan perhatian.Buah kepayang memang sedap setelah direbus dengan garam dan kunyit dan boleh dimakan dengan nasi ,masa saya kecil dahulu tetapi kini tiada lagi.Begitu juga dengan buah keranji yang berwarna hitam macam proton perdana V6 itu pun susah nak dapatkan sekarang, dahulu banyak dalam hutan dekat Bukit Perupuk dikampung kami itu.Inilah kenangan buah yang jarang kita temui kini, jadi inilah coretan tentangnya yang dahulu amat banyak dikawasan kami.Kalau saya menemui buah-buah sedemikian begitu girangnya hati saya kerana ia mengusik kenangan dimasa kami bebudak dahulu.
Hadis mengenai makanan dari Abu Hurairah RA, katanya, "Rasululah SAW tidak pernah mencela makanan apa saja pun.Apabila beliau menginginkan (menyukai) sesuatu makanan, dimakannya dan apabila beliau tidak menyukainya dibiarkan saja" (Al-Imam Muslim,Terjemahan Hadis Shahih Muslim,2007:103)
Aminudin Ph.D
Sunday, June 6, 2010
Anekdotku 10- Kemahiran Ayah Membuat Tuai Dan Lukah
Kami sebagai sebuah keluarga petani mempunyai kemahiran yang tertentu, namun tidak banyak yang saya warisi.Jadi memadai saya mencoret apa yang ada dalam kehidupan kami, saya rasa itu sudah memadai.Bagi ayah memang berminat dalam pertanian, habis kawasan lapang dibuatnya kebun.Kalau dia datang kerumah kami diKuantan, habis ditebasnya rumput-rumput dan maka ada kawasan kosong ditanamnya sayur.Disamping itu dia juga mahir membuat tuai padi bagi digunakan bila padi sampai masa untuk dituai.Sayangnya sekarang paya kami diKampung Relong tidak lagi menjadi sawah padi kerana semua orang tidak lagi menanam padi.Orang Bapung dan Ulu Teris ada juga menanamnya sekali sekala.Ayah pandai membuat tuai ini dari pokok bernama pulai.Pokok ini memang banyak dahulu diCeruk Membebek dan juga dekat Kampung Behrang ataupun dekat Gua Bama pun banyak pokok ini.Ayah akan mengambil dahan yang cantik dari pokok pulai ini dan kemudian dia bersihkan dan dilarik menjadi kayu macam pencel untuk dibuatnya batang tuai.Setelah itu dia akan melarik pula bahagian yang akan dijadikan badan tuai sebesar kira-kira sebesar tapak tangan budak kecil yang diletakkannya mata pisau cukur sebagai pengetam tangkai padi.Bila siap ukiran dibuat oleh beliau mengikut kehendaknya pada papan atau badan tuai itu.Hari ini bila saya suruh dia buat tuai sebagai koleksi saya, dia mengatakannya dia agak sibuk bagi menyiapkan salasilah keturunan Datok Linggi yang ditulisnya.
Begitu jugalah dengan lukah, ayah akan mengambil batang-batang pedor dari kebun getah kami diBukit Perupok.Batang itu akan dibersihkan segala daunnya dan dibuang empulurnya untuk diambil kulit pedor itu sahaja yang seakan-akan lidi penyapu.Jadi setelah itu ayah akan menganyam lidi pedor itu untuk dijadikan lukah.Lukah ini dianyam dengan diikat dengan rotan seni yang mengikut ayah adalah untuk tahan lama dan boleh dapat ikan banyak, kata orang Sungai Batu, mujur.Bila siap lukah bolehlah ditahan atau dipasang dalam paya bagi kami dapat ikan toman,puyu,sembilang,potak,lampang dan lain-lain.Hari ini lukah boleh dilihat atau dijual dipusat kraftangan atau kawasan orang asli, sekiranya kita mahu mencarinya.
Hadis yang berkaitan dengan bersedekah dari barang/bahan pertanian ialah dari Abu Hurairah RA, katanya Rasulullah SAW bersabda " Siapa yang bersedekah dengan sebutir kurma dari usaha yang halal, maka Allah akan menerimanya dengan baik, lalu dipelihara-Nya seperti kamu memelihara anak kambing atau anak unta, sehingga sedekahmu tambah besar menjadi sebesar gunung atau lebih besar dari itu " (Al-Imam Muslim,Terjemahan Hadis Shahih Muslim,2007)
Aminudin Ph.D
Anekdotku 9-Kulat Sisir (Schizophyllum commune)
Kulat sisir adalah sejenis kulat yang boleh dibuat sayur lemak cilipadi yang enak dimakan dengan nasi sebagai lauk.Saya ingatkan kulat sisir ini ketika kami makan dalam kebun getah kami yang hendak ditanam semula getah .Kami selalu juga makan nasi dalam cerang yang kami tanam labu, mentimun tahun dan padi huma.Masa saya kecil, kami sekeluarga menanam pokok getah diBukit Perupuk,Relong. Ketika itu pokok getah asal ditanam secara biji benih yang menjadikan pokok-pokok getah kami besar-besar belaka.Tetapi setelah RISDA memperkenalkan teknologi baru secara benih cantuman (pokok kahwin) kami sekeluarga mengikuti program tanaman semula itu.Bila mengikuti program ini kebun getah kami mendapat bantuan RISDA.Dahulu kami buat sendiri berbanding dengan sekarang semua program itu ditender dan semuanya dibuat oleh kontraktor RISDA.Bila kami sudah menanam anak-anak getah cantum itu , datanglah pegawai RISDA memeriksa kebun kami itu.Kalau lulus, kami akan dapat bantuan dari RISDA.Masa proses tanaman semula inilah pokok-pokok getah yang lama akan ditebang dan biasanya tidak lama selepas itu tumbuhlah kulat-kulat sisir yang kami kutip dan bersihkan selepas dijemur.Selepas itu barulah dibuat sayur lemak cilipadi yang ditaruk juga daun ubikayu atau ubi keledek.Ianya sungguh sedap dimakan dengan nasi yang kadang-kadang kalau ada kuah lebih akan saya makan dengan roti tawar yang dibeli dari India Muslim yang datang kekampung kami dari Kuala Lipis menaiki basikal.
Semasa saya bersekolah diSekolah Menengah Sultan Abdul Halim, Jitra,Kedah ,saya dengan kawan-kawan sebaya memang suka cecah kulit roti yang dipotong oleh tukang masak dikantin dengan kari ayam yang biasa dihidangkan kepada kami dengan nasi beriani setiap hari jumaat.Kalau ada sayur lemak kulat sisir lagi sedap tetapi apakan daya tukang masak sebelah utara non mana tahu masak lemak kulat sisir, buat rojak dan pasembor memang hebat.Hingga hari ini saya masih mencari pasembor dibuat oleh Abang Mamak dekat padang bola depan Masjid Negeri ,Pahang itu yang ada rasa pasembor utara juga.Begitu juga kulat sisir memang ada dijual dipasar minggu bandar Temerloh yang diadakan tepi sungai itu.Namun jarang sangat kita ketemukan orang menjual sayur kulat sisir yang telah dimasak terutama dibulan puasa.Jika ini dibuat saya pasti ia akan laku lebih-lebih lagi kalau dicampur dengan terung manggo dan ikan salai yang akan menyelerakan kita makan nasi.
Hadis berkaitan dengan cendawan adalah dari Said bin Yazid bin Amru bin Nufail RA yang katakan Rasulullah SAW bersabda " Al-Kam-at (cendawan) adalah sejenis manna (sejenis makanan) yang diturunkan Allah Taala kepada Bani Israil yang airnya mengandungi ubat bagi penyakit mata " (Al-Imam Muslim,Terjemahan Hadis Shahih Muslim, 2007:99)
Aminudin Ph.D
Tuesday, June 1, 2010
Anekdotku 8- Abdu Hadi Tukang Urut
DiKampung kami Kampung Relong itu dahulu terkenal dengan seorang tukang urut iaitu Abdu Hadi.Beliau terkenal boleh dikatakan diDaerah Lipis.Dia juga boleh memulihkan orang yang patah.Saya yang juga seorang pemain sukan dan rakan lain seperti Burhan,Abang Nor dan lain-lain kalau terseliuh atau terkehel akan mencari tukang urut atau kami panggil diRelong bergosok dan orang yang dicari tidaklah orang lain kalau bukan Abdu Hadi.Saya sendiri kalau musim buah selalu duduk atas pokok dan sesekali itu tentulah ada jatuh dari pokok manggis misalnya.Maka jatuh dan mengakibatkan terseliuh dan kena bergosok dengan Abdu Hadi.Biasanya bila bergosok dua kali dah baik.Selain dari mengurut Abdu Hadi juga mengubati orang patah.Banyak juga saya dengar orang dari Hospital Lipis datang berubat dengan dia dan banyak yang baik.Hari ini nak cari bomoh patah memang susah, dahulu selain dari Abdu Hadi ada saya dengar ada tok bomoh patah diJeram Landak,Jerantut tetati sejak akhir-akhir ini sudah tidak kedengaran lagi.Tukang urut ini menurut ayah yang sama-sama menunaikan haji dengan ayah saya begitu sihat bogar bila diRelong tetapi bila sampai diMekah ,ayah saya yang kurang sihat jadi sihat, dia pula (Abdu Hadi) tidak sihat dan ayahlah membantu dia semasa ditanah suci itu.
Anak-anak Abdu Hadi kebanyakan tidak mahu mewarisi kepakarannya, saya pula berpendapat zaman sekarang ini kerjaya yang berkaitan dengan kesihatan mendapat pasaran yang baik, dimana misalnya dibandar-bandar sekarang tumbuh macam cendawan pusat kesihatan atau SPA yang menjalankan kerja mengurut.DiKuantan saya tengok pehuh orang berurut kaki terutama dekat Taman Kerang depan Masjid Besar ,Kuantan itu diwaktu pagi malahan tukang urutnya perempuan pulak.Jadi anak Abdu Hadi macam Mat Leper patut mewarisi kemahiran ini.Saya sendiri tidak begitu tahu kenapa namanya digelar Mat Leper, setahu saya kalau tin susu digelek oleh tayar lori boleh menjadi leper.Walaubagaimanapun Mat Leper ini mempunyai kemahiran bermain bola yang baik iaitu boleh mengambil tendangan sudut yang selalunya menghasilkan gol.Mungkin tendangan sudut yang macam meleper itu menjadi Mat Leper mendapat namanya.Selain dari itu saya juga diberitahu oleh kawan-kawannya yang kaki dia boleh kembang bila menyepak bola atau menahan bola yang inilah keistimewaan beliau.Hari ini dekat pesta bola dunia diAfrika Selatan saya teringatkan Abdul Hadi dan anaknya Mat Leper yang membuat saya tersenyum kalau mereka dapat membuat perniagaan urut disana pula.
Hadis yang ada sangkut paut dengan tangan ialah dari Usman bin Abi Ash Ats Tsaqafi RA katanya dia menceritakan kepada Rasulullah SAW satu penyakit yang dideritainya sejak masuk Islam.Maka sabda Rasulullah SAW katanya " Letakkan tanganmu ditubuhmu yang terasa sakit, kemudian ucapkan Bismillah tiga kali , sesudah itu baca tujuh kali : A'udzubillah wa qudratihi min syarri maajidu wa uhadziru "(Al-Imam Muslim,Terjemahan Hadis Shahih Muslim,2007:146)
Aminudin Ph.D
Anekdotku 7-Kini Tiada Lagi Orang Berdikir,Pencaksilat,Tarian Piring dan Tembak Senapang
Masa saya kecil dahulu, bila emak menyebut akan ada saudara khenduri kahwin, saya begitu girang sekali.Ini adalah kerana dapat berjumpa kawan-kawan dan saudara-mara yang akan berkampung dua tiga minggu dirumah pengantin.Berkampung dirumah orang hendak membuat khenduri kahwin adalah bagi persediaan khenduri kahwin tersebut.Diantara kerja-kerja yang dibuat ialah membuat pelantar lelari yang saya ceritakan dalam blog saya http://sungaibatuderelong.blogspot.com.Membuat kuih kering,nasi manis,bahulu dan lain-lain bagi untuk jamuan tetamu yang datang adalah juga kerja-kerja yang dibuat, begitu jugalah gotong-royong meminjam pinggan mangkok,periuk-belangga, kuali serta kawah.Bila tiba pada hari perkahwinan seingat saya semasa khenduri anak Aki Mat iaitu Akak Sabar dan Abang Mat Angat amatlah meriah sekali, maklumlah keluarga ini adalah keluarga seni iaitu Badar,Abang Bedu (M.Z.Alias),Siti Ameh dan Abang Mahyudin adalah penulis-penulis sajak dan rencana ketika itu.Maka adalah berdikir yang berlaku masa itu dirumah khenduri kahwin tersebut.Berdikir masa itu menggunakan rebana dan didendangkan dengan nyaring oleh pendikir masa itu seperti Abang Husin Mandak dari Ulu Teris,Pakambong Ajis dari Berchang dan Abang Tapa dari Relong.Mereka inilah yang melaungkan dikir mereka dengan suara senyaring-nyaringnya dengan lunak dan sesekali saya disuruh mengantar air untuk mereka.Hari ini saya tidak lagi mendengar khabar yang bila orang kahwin diRelong ada acara berdikir.
Begitu jugalah bila pangantin lelaki tiba dirumah pengantin perempuan mereka akan disambut dengan tembakkan senapang sebanyak tiga das yang seingat saya Pakangah Manlah yang sering menembaknya.Kalau saya ada akan saya suruh dia tembak tupai-tupai yang sedang meniti-niti didaham pokok mempelam atau dihujung daun nyor ditempat orang kawin itu.Selepas itu diikuti oleh taburan beras dan bertih yang disediakan oleh tuan rumah yang kadang-kadang boleh masuk dalam lubang hidung kami budak-budak yang lari mutang-manting membuat sibuk.Selepas itu adalah pula pencaksilat yang disampaikan oleh Aki Hod atau Pakbusu Abas atau Abang Nor.Kalau mengizinkan kami dapat melihat Aki Hod meliut-liutkan tangannya menarikan tarian piring yang terdapat lilin diatasnya serta kedengaran bunyi ketukan cincin pada piring yang dipegangnya.Bunyi hentakan jari kepiring ini yang berketing-keting itu membuat saya cukup terpegun dan tidak dapat melupakan kenangan itu walaupun saya selalu dikacau oleh Nuar Kadir yang berdekah-dekah melihat saya terpaku ditempat Aki Hod menarikan tarian lilin itu.Hari ini semua itu tiada lagi bagi kami untuk melihat senerio seumpama itu, jadi inilah kenangan yang dapat saya coretkan kepada generasi yang akan datang bahawa kampung kami deRelong ada berdikir,tarian piring,pencak-silat dan tembak senapang bila ada orang berkahwin.
Hadis berkaitan dengan hiburan apabila orang berkahwin ini saya dapati ada Imam Bukhari dan Ahmad meriwayatkan dari Siti Aisyah RA, bahawa ia pernah membawa pengantin wanita kerumah pengantin lelaki dari kaum Anshar, maka Nabi Muhammad SAW, ada bertanya " Wahai Aisyah tidak adakah hiburan pada mereka ? Sebab orang-orang Anshar itu menyukai hiburan " (Prof.Dr Yusuf Al-Qardhawi,Seni dan Hiburan Dalam Islam,2008:77)
Aminudin Ph.D
Subscribe to:
Posts (Atom)