Tuesday, June 1, 2010

Anekdotku 7-Kini Tiada Lagi Orang Berdikir,Pencaksilat,Tarian Piring dan Tembak Senapang


Masa saya kecil dahulu, bila emak menyebut akan ada saudara khenduri kahwin, saya begitu girang sekali.Ini adalah kerana dapat berjumpa kawan-kawan dan saudara-mara yang akan berkampung dua tiga minggu dirumah pengantin.Berkampung dirumah orang hendak membuat khenduri kahwin adalah bagi persediaan khenduri kahwin tersebut.Diantara kerja-kerja yang dibuat ialah membuat pelantar lelari yang saya ceritakan dalam blog saya http://sungaibatuderelong.blogspot.com.Membuat kuih kering,nasi manis,bahulu dan lain-lain bagi untuk jamuan tetamu yang datang adalah juga kerja-kerja yang dibuat, begitu jugalah gotong-royong meminjam pinggan mangkok,periuk-belangga, kuali serta kawah.Bila tiba pada hari perkahwinan seingat saya semasa khenduri anak Aki Mat iaitu Akak Sabar dan Abang Mat Angat amatlah meriah sekali, maklumlah keluarga ini adalah keluarga seni iaitu Badar,Abang Bedu (M.Z.Alias),Siti Ameh dan Abang Mahyudin adalah penulis-penulis sajak dan rencana ketika itu.Maka adalah berdikir yang berlaku masa itu dirumah khenduri kahwin tersebut.Berdikir masa itu menggunakan rebana dan didendangkan dengan nyaring oleh pendikir masa itu seperti Abang Husin Mandak dari Ulu Teris,Pakambong Ajis dari Berchang dan Abang Tapa dari Relong.Mereka inilah yang melaungkan dikir mereka dengan suara senyaring-nyaringnya dengan lunak dan sesekali saya disuruh mengantar air untuk mereka.Hari ini saya tidak lagi mendengar khabar yang bila orang kahwin diRelong ada acara berdikir.

Begitu jugalah bila pangantin lelaki tiba dirumah pengantin perempuan mereka akan disambut dengan tembakkan senapang sebanyak tiga das yang seingat saya Pakangah Manlah yang sering menembaknya.Kalau saya ada akan saya suruh dia tembak tupai-tupai yang sedang meniti-niti didaham pokok mempelam atau dihujung daun nyor ditempat orang kawin itu.Selepas itu diikuti oleh taburan beras dan bertih yang disediakan oleh tuan rumah yang kadang-kadang boleh masuk dalam lubang hidung kami budak-budak yang lari mutang-manting membuat sibuk.Selepas itu adalah pula pencaksilat yang disampaikan oleh Aki Hod atau Pakbusu Abas atau Abang Nor.Kalau mengizinkan kami dapat melihat Aki Hod meliut-liutkan tangannya menarikan tarian piring yang terdapat lilin diatasnya serta kedengaran bunyi ketukan cincin pada piring yang dipegangnya.Bunyi hentakan jari kepiring ini yang berketing-keting itu membuat saya cukup terpegun dan tidak dapat melupakan kenangan itu walaupun saya selalu dikacau oleh Nuar Kadir yang berdekah-dekah melihat saya terpaku ditempat Aki Hod menarikan tarian lilin itu.Hari ini semua itu tiada lagi bagi kami untuk melihat senerio seumpama itu, jadi inilah kenangan yang dapat saya coretkan kepada generasi yang akan datang bahawa kampung kami deRelong ada berdikir,tarian piring,pencak-silat dan tembak senapang bila ada orang berkahwin.

Hadis berkaitan dengan hiburan apabila orang berkahwin ini saya dapati ada Imam Bukhari dan Ahmad meriwayatkan dari Siti Aisyah RA, bahawa ia pernah membawa pengantin wanita kerumah pengantin lelaki dari kaum Anshar, maka Nabi Muhammad SAW, ada bertanya " Wahai Aisyah tidak adakah hiburan pada mereka ? Sebab orang-orang Anshar itu menyukai hiburan " (Prof.Dr Yusuf Al-Qardhawi,Seni dan Hiburan Dalam Islam,2008:77)

Aminudin Ph.D

Sunday, May 30, 2010

Anekdotku 6-Menjerat Pelanduk dan landak Bersama Pakwe Idin


Memang banyak kenangan saya dengan Pakwe Idin berkenaan menangkap haiwan liar.Pakwe Idin yang tinggal diKampung Keledek masa saya kecil adalah seorang bujang dan bila cuti sekolah saya keKampung Keledek duduk dengan dia ataupun rumah Aki Muhamad tepi sekolah Kampung Keledek itu.Rumah We terletak dalam cerang (sekarang orang memanggil dusun buah) dan bila besar pokok buah ia menjadi kebun buahan-buahan.Masa itu dalam cerang We Idin ditanam labu,mentimun tahun,pisang,keledek,jagong,terung dan lain-lain.Kami tinggal dalam cerang itu untuk menangkap pelanduk dan landak yang datang kecerang kami untuk mendapatkan makanan.Pelanduk mudah ditangkap dengan menggunakan jerat pingkas atau jerat serengkup.Jerat pingkas yang kami buar biasanya adalah dengan satu kayu yang boleh dilentur dan dipasang tali jerat yang dibuat satu pesawat ditanah yang boleh membingkas bila dipijak oleh pelanduk.Namun sebelum itu kami telah membuat denai(lorong) dari reba (biasanya kayu-kayu dan daun-daun kering) seperti resam dan paku-pakis yang akan mengakibatkan pelanduk mengikut denai itu dan akhirnya terjebat dikawasan tali jerat yang dilitupi oleh daun-daun kering atau ranting-ranting kayu.Bagi perangkap serekup pula yang dibuat oleh Pakwe dari kayu-kayu kelat yang diikat dengan akar-akar beluru merupakan serekup yang dipasang pesawat kepadanya bila dipijak oleh pelanduk ia akan jatuh dan serengkup itu akan mengurung pelanduk tersebut.Kedua jenis perangkap yang saya katakan diatas tadi ada kebaikan dan kelebihan masing-masing.Jenis jerat pingkas akan menjadikan pelanduk mati kalau kita lambat pergi menenguknya sebab pelanduk terlalu lama tergantung dan kelaparan yang kemudiannya dia mati.Manakala jerat jenis serungkup pula akan membolehkan kita memperolehi pelanduk yang hidup tetapi ada peluang terlepas bila kita berusaha untuk mengambilnya.

Landak pula kami menangkap menggunakan sangkar besi macam sangkar atau perangkap tikus.Pakwe mendapatkannya dengan menempah khas dari kedai cina dari Bukit Betong.Kami memasang perangkap landak memerlukan kemahiran dalam mencari lubang-lubang landak dalam cerang kami itu.Pakwe tahu semua tempat dimana terdapat lubang-lubang landak itu.Jadi kami akan meletakkan perangkap dihadapan lubang-lubang yang telah dikenalpasti.Dalam perangkap itu kami letakkan umpan yang menjadi kegemaran landak iaitu keledek,ubi kemili,keladi dan kadang-kadang labu.Jadi bila landak cuba untuk mengambil makanan itu maka tutup perangkap pun tertutup dan landak kami perolehi.Pelanduk dan landak mempunyai daging yang sedap dimakan tetapi kenalah dibuang " ipoh " dalam perut pelanduk dan hempedu landak sebelum kita buat gulai.Hinga hari ini saya terkenangkan Pak we Idin yang telah pergi meninggalkan kami dan bila anaknya kahwin ayah saya telah mewali hakimkannya dan Al-Fatihah buat Pak We .

Hadis berkaitan dengan aspek pemburuan dari Syaddad bin Aus RA katanya, " Ada dua pesan Rasulullah SAW yang selalu kuingat dengan baik, iaitu sabda beliau " Sesungguhnya Allah Taala telah mewajibkan supaya selalu bersikap baik terhadap segala-galanya.Jika kamu membunuh (buruan) lakukanlah dengan cara yang baik.Dan jika kamu menyembelih sembelihan, lakukanlah dengan cara yang baik, tajamkan mata pisaumu, sehingga tidak terlalu menyakiti hewan sembelihan " (Al-Imam Muslim, Terjemahan Hadis Shahih Muslim,2007:72)

Aminudin Ph.D

Anekdotku 5-Manggis(Garcinia mangostana)


Manggis sekarang mendapat sambutan yang menggalakan dalam pasaran buah tempatan dan luar negara terutama Jepun dan Eropah.Saya terkejut semasa diTokyo bila bersama dengan ibu angkat saya berjalan-jalan dipasar buah Tokyo yang harganya ketika itu ditahun 1990an telah mencecah kira-kira RM 3.00 ringgit sebiji.Hari ini buah manggis sudah dipanggil raja buah diJepun, mereka kata manis menggila dan berkhasiat.Memang kita dapati jus buah manggis menjadi bahan makanan tambahan sekarang yang boleh didapati difarmasi-farmasi negara kita.Manggis mengingatkan saya semasa zaman kanak-kanak diRelong dahulu.Kalau musim buah yang pasti termasuk manggis saya dapati budak perempuanlah yang lebih lebat dari budak lelaki disungaibatu derelong.Saya masih ingat bila musim buah manggis menjadi banyak buah manggis ini berbuah didekat rumah kami tepi Gua Bama itu, banyak juga dekat rumah Pakangah Man dan yang paling banyak berbuah ialah didusun dekat rumah Akak Milah diCeruk Membebek.Jadi ramailah budak perempuan macam Miah,Nor dan Meah memanjat pokok-pokok manggis yang masak.Buah manggis ini tidak boleh jatuh ketanah kerana ia akan menjadi " kerang"( dailek kata orang Sungaibatu yang bermakna kematu).Jadi untuk memanjat hendaklah dibawa bakul atau kain gendung bagi mengisi manggis-manggis tersebut.Satu keistimewaan pokok manggis ini ialah dahanya liat.Dimana ia payah patah walaupun kita pergi hingga kehujung dahanya bagi mengambil buah.Dalam teknik mengambil buah manggis ini seingat saya MiRoslan yang paling handal dimana boleh sampai kehujung dahan manggis mana sekalipun.

Getah buah manggis merupakan getah yang payah nak tanggal jadi untuk mengelak dari terkena getah manggis kami selalu memanjat manggis tanpa baju.Inilah yang membuatkan budak-budak perempuan yang ikut memanjat dimusim manggis mengejek atau gelihati melihat badan kami yang cantik-cantik ketika itu !.Pokok manggis sebenarnya boleh hidup sehingga 60tahun dan boleh menghasilkan buah yang banyak.Dimasa kami kecil itu emak ada mengatakan manggis muda tidak boleh dimakan dengan gula dan akan menjadi kita cika.Hingga sekarang saya masih belum mengujinya lagi.Akhirnya ada serangkap pantun tentang manggis dan Negeri Pahang iaitu :-

Manisnya manggis bukan kepalang,Bila masak dimakan dek kluang,
Terkenalah sudah SiNegeri Pahang, Adalagi yang miskin dan takberwang.

Manakala hadis berkaitan dengan Buah Delima yang sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud " Sesiapa yang makan satu buah delima sampai habis, maka Allah akan menerangi hatinya selama empat puluh malam " (Dr.Zaid,Penawar Dalam Buah Delima,2009:37)

Aminudin Ph.D

Saturday, May 29, 2010

Anekdotku 4- Paku Larat (Polypodium verrucosum)


Paku banyak jenis paku , diantaranya ialah paku larat (Polypodium verrucosum),paku merah (Blehnum orientale), paku papan (Arcypteris irregularis),paku gajah (Micolepia ridleyi), paku siku (Cyathea burbidgei) dan lain-lain.Bila bercerita tentang paku ini , saya teringatkan dimasa kecil saya dimana dekat Sungai Terislah yang banyak terdapat berbagai-bagai jenis paku.Seingat saya paku larat dan paku merah yang banyak sekali manakala paku gajah pun banyak juga terdapat dikaki Gua Bama.Paku-paku ini kami kutip untuk dibuat sayur bagi lauk kami makan nasi.Paku memang enak digoreng atau dimasak lemak dengan ikan sembilang atau ikan toman.Paku yang digoreng bersama ikan bilis, bawang,lada dan tauchu sungguh enak dimakan .Begitu jugalah paku yang dimasak bersama ikan sembilang atau ikan kering dengan menggunakan cili api sebagai pemedas bagi mereka yang suka digoreng pedas-pedas.Paku juga boleh direbus menjadi ulam untuk makan bersama nasi dengan dicecah sambal belacan atau peda (diKelantan mereka memanggil budu).Memanglah sedap yang tak terkira bagi kami dahulu kalau memakan nasi dengan beras baru terutama jenik yang membuat kami bertambah nasi berkali-kali dan kekenyangan tersandang kedinding rumah.

Paku saya lihat banyak dijual dipekan sari atau pasar tani dinegara kita sekarang.Orang sudah mengemari sayur yang dikatakan tidak ada bahan kimia digunakan bagi pertumbuhannya.Paku dilihat sebagai sayur yang baik berbanding dengan sayur yang ditanam diCameron Highland kerana tidak bahan kimia itu.Paku jenis merah pula memang sesuai dibuat ramuan bubur lambok, dimana saya dapati banyak juga masjid-masjid dinegara ini membuat bubur lambok dibulan puasa dan paku merah memang dicari oleh mereka yang tukang membuat bubur lambok tersebut.Paku gajah pula selain dari boleh dimakan pucuknya ia boleh juga dicampurkan dengan minyak kelapa yang membolehkan ia berbau wangi dan sesuai dijadikan bahan kosmetik, bagi pangkal daun paku gajah kalau dipotong halus-halus secara berkeping-keping dan dikeringkan dan kemudian direbus boleh dijadikan ubat pelawas kencing dan mengeluarkan batu karang.Justeru itu kalau kita ada tanah terbiar dan sesuai ditanam paku ,apa salahnya kita tanam saja pokok paku dan kalau rajin tanamlah dia secara komersia.

Petikan dari hadis dari Ka'ab ibnu Malik RA, katanya " Aku pernah melihat Nabi SAW, mengulum jari-jari beliau tiga kali sesudah makan " (Al Imam Muslim, Terjemahan Hadis Shahih Muslim,2007:92)

Aminudin Ph.D

Thursday, May 27, 2010

Anekdotku 3- Aki Had Tukang Calat

Rumah Aki Had terletak tidak jauh dari rumah paman saya Pakandak Dahan, disinilah juga kami bermain sama Manan, Zahar,Shamsuddin ,Jantan dan beberapa budak lain.Selain dari memanjat pokok buahan yang terdapat banyak dekat rumah Pakandak itu kami juga kadang-kadang membedal buah asam jawa dekat rumah Hassan Titik dan Aki had itu.Aki Had sebenarnya Tukang Calat yang disebut secara biasanya Tokmudin.Kami diRelong memanggil calat yang bererti menghiris sebahagian dari bahagian tertentu, misalnya sianu orang lelaki itu.Aki Had memang ditakuti oleh bebudak lelaki yang akan kena calat.Biasanya budak yang hendak masuk sekolah menengah rendah akan dicalatkan atau dikhatankan oleh Aki Had. Jadi sebelum dicalat keluarga budak tersebut akan membuat khenduri.Jadi saya masih ingat Abang Main anak Pakatih Hassan ada membuat khenduri sebelum dia dicalat.Saya lihat Abang Main ,kelihatan cool sahaja dan tidak takut macam budak lelaki lain.Budak yang takut mungkin anunya ,buta yang mereka jadi takut dan macam nak lari.

Bagi bebudak yang nak kena calat pada hari itu, pagi-pagi lagi telah kena mandi didalam parit atau pergi dekat rumah Pakatih itu.Perigi dekat rumah Pakatih agak besar juga dan airnya sejuk,maklumlah terletak dekat beberapa batu besar yang seingat saya hapus kepala tingginya.Disitulah budak-budak dan abang Main berendam dan setelah beberapa jam mereka disuruh naik kerumah untuk dicalat diatas batang pisang.Mereka dicalat dengan pisau khas Aki Had yang saya kira ditajamkan oleh Hassan Titik yang pandai membuat pisau dan parang.Jadi bagi bebudak yang belum dicalat bila mendengar rakan-rakan mereka menjerit tentulah takut malahan ada juga cuba nak lari.Setahu saya sebelum budak-budak itu dicalat mereka telah dijampi oleh Tok Mudin supaya tahan sakit seperti juga sistem bius yang diamalkan dihospital.Selepas dicalat budak-budak dibaringkan dengan kain pelekat digantung pada siling rumah atau pada dawai yang direntang tengah-tengah rumah.Lepas dicalat itu mereka akan tidak diberi makanan yang berzat sangat kerana takut bentan.

Inilah ingatan saya tentang bercalat dikampung kami dan saya ingatkan peristiwa Abang Main bercalat.Saya pula telah berkhatan diHospital Lipis dan masa itu seingat saya Aki Had pergi berjalan, mungkin kerumah anaknya diJerantut.Namun saya dengan AkiHad memang baik, kami selalu berseloro dan saya selalu berkawan dengan anaknya Dong yang selalu membuatkan gasing untuk saya.Berkenaan bersunat ini sepatutnya digunakan untuk sunat anak perempuan bagi lelaki disebut Khitan.Dalam hal Khitan ini dari Az-Zuhri yang Rasulullah telah bersabda " Siapa yang masuk Islam ,hendaklah berkhitan meskipun ia sudah tua "(M.Abdul Mujieb dan lain,Kamus Istilah Fiqh,1997:160)

Aminudin Ph.D

Wednesday, May 26, 2010

Anekdotku 2-Meriahnya Surau We Muhammad DiBulan Puasa


Surau We Muhammad bapa saudara saya terletak dekat rumahnya diSungai Batu de Kampung Relong.Ia begitu terasa meriah oleh saya terutama dibulan puasa atau dikenali juga sebagai bulan Ramadan itu.Semasa saya kecil jarang sangat tinggal puasa kerana takutkan emak atau ayah marah lagipun kalau tak berpuasa sudah tentu tidak dapat berbuka disurau We yang banyak kuih muih dan nasi disediakan untuk juadah berbuka puasa.Kalau nak dibandingkan dizaman sekarang pun berbuka puasa terdapat bermacam-macam lauk pauk dan kuih-muih.Namun suasananya lain.Dulu kalau kita berbuka dengan dua tiga jenis kuih sudah memadai bersama dengan minum air batu sirap atau digelar juga air serbat dan kemudian makan nasi sudah cukup buat kami bebudak dahulu.Biasanya kegemaran saya masa kecil dahulu masa berbuka ialah kuih talam dan bingka labu, kalau tidak ada dua kuih itu bubur kacang pun sudah begitu sedap dan akan menjadi lebih sedap lagi kalau bertepatan dengan musim durian yang mana kami buat bubur kacang bercampur durian.Manakala makan nasi ada beberapa lauk-pauk yang kami gemari ketika itu ialah masakan daging ayam kampung masak kicap, sayur mentimun tahun dengan ikan kering atau sayur labu atau goreng kangkong yang kami punggut dari dalam paya bersama tauchu.Bila bulan puasa menjelang tiba perkara yang paling saya ingati ialah bila tiba waktu berbuka dimana kami bebudak berebut untuk mengetuk keketuk disurau We Muhammad itu.Ini untuk memberi tahu orang lain bahawa telah masuk waktu berbuka.Kami tahu diKuala Lipis ada bunyi orang menembak bila tiba waktu berbuka tetapi tidak begitu kedengaran diSungai batu.

Masa berbukalah yang paling nikmat bagi kami kerana telah menjalani puasa pada hari tersebut disamping menikmati juadah yang ada.Selain kuih saya ada juga kegemaran memakan nasi berulam yang dibuat disungai batu .Nasi berulam ini dicampur dengan berbagai-bagai daun kayu seperti daun kadok,cemperai,serikayu,mengkudu dan lain-lain.Apa yang menjadikan nasi berulam ini bertambah enak adalah kerana ia digaul dengan kelapa dan ikan kering terutama ikan tengkalang.

Lepas berbuka kami akan sembahyang berjemaah maghrib dan sembahyang sunat tarawikh yang diimamkan oleh We Muhammad dengan dibantu oleh Abang Nor.Paling seronok bagi kami ialah masa ratib atau tahlil kerana masa itu kami akan berlawan dengan orang dewasa seperti Abang Nor,Abang Ahmad Muhammad,Abang Isa dan Abang Akil.Malahan saya rasakan surau We Muhammad bergegar-gegar dibuatnya.Selepas tarawikh kami makan lagi kuih-muih yang banyak dibawa orang kesurau itu seperti dibawa oleh Akak Nab,Akak Siti atau Wan Kiah.Akak Nab selalu membawa rojak,pecal dan mee rebus yang menjadi kesukaan kami, lagipun dia menjual juadah tersebut di gerai mereka diPekan Sari,Kampung Relong.Kadang-kadang kami tidur diSurau We Muhammad kerana We ada mengatakan mungkin kami dapat menemui Malam Lailatulkadar. Ini membuatkan kami seronok tidur disitu disamping dapat mendengar Abang Ahmad Muhammad dan Abang Isa bercerita.Sekarang surau We Muhammad yang lama tempat saya berebut keketuk dengan MeRoslan sudah tiada kerana telah dibuat yang baru, dan dengarnya Abang Nor sekarang jadi imam sejak We Muhammad dah tiada.Al-Fatihah buat We dan Makwe yang telah meninggalkan kami semua.Me Roslan pula telah berhijrah keLabuan ada juga balik keRelong.Abang Isa pula dengarnya jadi wali hakim ,diJerantut yang tugasnya menikahkan orang.Saya akhiri edisi ini dengan hadis yang meminta kita menyegerakan berbuka yang " Dari Sahal bin Saad RA, berkatanya Rasulullah SAW : Berbahagialah selalu orang-orang yang menyegerakan berbuka " (Imam Muslim,Terjemahan Hadis Shahih Muslim,2007:239)

Aminudin Ph.D

Anekdotku 1-Sungai Batu Tempat Ku Dilahirkan Dan Batu(Stone)


Sungai Batu,Kampung Relong adalah tempat saya dilahirkan.Saya dilahirkan disebuah rumah kampung terletak ditepi paya berhampiran pula dengan Gua Bama.Nama Sungai Batu mengambil sempena banyaknya batu-batu besar disitu yang merupakan akar atau sebahagian dari Gua Bama.Batu-batu besar dekat rumah kami itu adalah juga tempat saya dan rakan sebaya saya bermain semasa bebudak dahulu.Saya masih ingat betul batu-batu itulah tempat emak menjemur padi yang mengakibatkan padi-padi itu cepat betul keringnya.Batu-batu itu amat menarik pandangan saya dimana dari jauh kelihat berwarna perak bila dipanah terik mentari. Batu-batu itu pada bahagian yang menghadap gedung Wan Tekah adalah juga tempat kami kanak-kanak masa itu duduk-duduk bermain dan kadang-kadang memancing ikan yang banyak dalam gedung tersebut bersama Jefri dan Alim.Kalau hari cuti sekolah budak-budak anak Pakencik Akob akan datang turut bermain diatas batu tepi gedung itu seperti Lalmi,Miah dan Meah.Saya juga ingat dicelah-celah batu itu tumbuh banyak pokok kelat dan ara yang menjadikan beburung datang untuk memakan bebuah kayu itu.Disamping itu perkara yang saya tidak lupa ialah pokok-pokok rembia tumbuh subur berdekat batu-batu tersebut tercatuk.Dari pokok rembia inilah ayah mengambil batang dan dibelah batang rembia itu bagi diberi makan pada itek dan ayam kami selain dari padi yang kami tanam.Bila musim kering atau kemarau pula gedung Wan Tekah akan dibuka airnya bagi membolehkan kami berikan atau menangkap ikan dan biasanya dicelah-celah batu-batu itulah diamnya ikan yang besar seperti tioman,sebarau,potak,lampang dan lain-lain.

Saya juga membuat kajian tentang Lembah Bama dan percaya batu-batu dari sinilah yang dihantar keMesir bagi pembinaan Piramid itu.Hanya saya belum berkesempatan untuk menguji batu disungaibatu itu adakah sama dengan batu yang dibuat Piramid tersebut.Namun yang mistrinya pembinaan Piramid diMesir itu tidak diketahui dari mana datangnya batu-batu itu ?Selain dari itu ingatan saya yang masih kekal kehari inilah perpindahan kami dari rumah kami ditepi Gua Bama itu kerumah kami dekat rumah Cikgu Bakar itu adalah kerana pembinan Kuari Pecah batu jugalah.Rumah kami sering dihujani oleh batu-batu dari Gua Bama bila setiap kali diletupkan oleh sebedor yang tidak bermata itu.Ada perkerja yang berkerja dikuari itu menjadi kawan kami kehingga kehari ini macam Abang Ghani dan adiknya Ngah yang mencari rezeki dikuari tersebut.Hari ini mereka telah kembali semula kekampung halaman mereka diTrengganu yang mana negeri itu telah menjadi lebih makmur dari Pahang sekarang kerana hasil minyaknya.

Batu-batu halus sebesar ibu jari kita akan kami jadikan batu telangkup yang merupakan permainan popular dimasa kami bebudak.Batu-batu sebesar ibu jari itu tadi kami pilih sebanyak 7biji yang mana dilabungkan berpasang-pasang dengan sebiji dijadi batu pelambungnya untuk ditangkap dan apabila selesai akan ditimbang dibelakang tapak tangan dan dikira point apabila dapat ditangkap.Permainan ini sebetulnya permainan budak perempuan tetapi inilah yang kami mainkan dan malahan budak lelaki lebih hebat dari bebudak perempuan ketika itu terutama sekali Lalmi dan MeDagu.Batu lada pula menjadi kegemaran kami untuk dijadikan peluru bagi melastik burung bila burung banyak dimusim buah.Kadang-kadang kami melastik juga buah mempelam muda Pakngah Man.Hari ini saya dapati batu-batu sungai sudah menjadi kesukaan peminat hiasan rumah bagi menghias halaman rumah mereka.Majlis Perbandaran Kuantan pun turut membina satu laluan pejalan kaki diTaman Gelora bagi peminat urutkaki yang dibuat dari batu sungai dan inilah yang lihat batu-batu tetap berguna dalam kehidupan kita.Saya juga mendapati simpulan bahasa kita berkaitan batu iaitu batu air, batu ajuk, batu ambar, batu amzil, batu badar,batu buyung, batu kali,batu pualam dan lain-lain yang maknanya pastilah anda tahu ?

Manakala petikan dari hadis yang berkaitan elemen batu ialah " dari Abu Hurairah RA ,katanya " ketika orang-orang Habsyi mengadakan pertunjukan tombak dekat Rasulullah SAW, tiba-tiba Umar masuk lalu dia merunduk mengambil batu-batu kerikil untuk melontar mereka.Kata Nabi SAW, kepadanya, "Biarkanlah mereka bermain hai Umar " (Imam Muslim,Terjemahan Hadis Shahih Muslim,2007:117)

Aminudin Ph.D