Wednesday, May 26, 2010
Anekdotku 2-Meriahnya Surau We Muhammad DiBulan Puasa
Surau We Muhammad bapa saudara saya terletak dekat rumahnya diSungai Batu de Kampung Relong.Ia begitu terasa meriah oleh saya terutama dibulan puasa atau dikenali juga sebagai bulan Ramadan itu.Semasa saya kecil jarang sangat tinggal puasa kerana takutkan emak atau ayah marah lagipun kalau tak berpuasa sudah tentu tidak dapat berbuka disurau We yang banyak kuih muih dan nasi disediakan untuk juadah berbuka puasa.Kalau nak dibandingkan dizaman sekarang pun berbuka puasa terdapat bermacam-macam lauk pauk dan kuih-muih.Namun suasananya lain.Dulu kalau kita berbuka dengan dua tiga jenis kuih sudah memadai bersama dengan minum air batu sirap atau digelar juga air serbat dan kemudian makan nasi sudah cukup buat kami bebudak dahulu.Biasanya kegemaran saya masa kecil dahulu masa berbuka ialah kuih talam dan bingka labu, kalau tidak ada dua kuih itu bubur kacang pun sudah begitu sedap dan akan menjadi lebih sedap lagi kalau bertepatan dengan musim durian yang mana kami buat bubur kacang bercampur durian.Manakala makan nasi ada beberapa lauk-pauk yang kami gemari ketika itu ialah masakan daging ayam kampung masak kicap, sayur mentimun tahun dengan ikan kering atau sayur labu atau goreng kangkong yang kami punggut dari dalam paya bersama tauchu.Bila bulan puasa menjelang tiba perkara yang paling saya ingati ialah bila tiba waktu berbuka dimana kami bebudak berebut untuk mengetuk keketuk disurau We Muhammad itu.Ini untuk memberi tahu orang lain bahawa telah masuk waktu berbuka.Kami tahu diKuala Lipis ada bunyi orang menembak bila tiba waktu berbuka tetapi tidak begitu kedengaran diSungai batu.
Masa berbukalah yang paling nikmat bagi kami kerana telah menjalani puasa pada hari tersebut disamping menikmati juadah yang ada.Selain kuih saya ada juga kegemaran memakan nasi berulam yang dibuat disungai batu .Nasi berulam ini dicampur dengan berbagai-bagai daun kayu seperti daun kadok,cemperai,serikayu,mengkudu dan lain-lain.Apa yang menjadikan nasi berulam ini bertambah enak adalah kerana ia digaul dengan kelapa dan ikan kering terutama ikan tengkalang.
Lepas berbuka kami akan sembahyang berjemaah maghrib dan sembahyang sunat tarawikh yang diimamkan oleh We Muhammad dengan dibantu oleh Abang Nor.Paling seronok bagi kami ialah masa ratib atau tahlil kerana masa itu kami akan berlawan dengan orang dewasa seperti Abang Nor,Abang Ahmad Muhammad,Abang Isa dan Abang Akil.Malahan saya rasakan surau We Muhammad bergegar-gegar dibuatnya.Selepas tarawikh kami makan lagi kuih-muih yang banyak dibawa orang kesurau itu seperti dibawa oleh Akak Nab,Akak Siti atau Wan Kiah.Akak Nab selalu membawa rojak,pecal dan mee rebus yang menjadi kesukaan kami, lagipun dia menjual juadah tersebut di gerai mereka diPekan Sari,Kampung Relong.Kadang-kadang kami tidur diSurau We Muhammad kerana We ada mengatakan mungkin kami dapat menemui Malam Lailatulkadar. Ini membuatkan kami seronok tidur disitu disamping dapat mendengar Abang Ahmad Muhammad dan Abang Isa bercerita.Sekarang surau We Muhammad yang lama tempat saya berebut keketuk dengan MeRoslan sudah tiada kerana telah dibuat yang baru, dan dengarnya Abang Nor sekarang jadi imam sejak We Muhammad dah tiada.Al-Fatihah buat We dan Makwe yang telah meninggalkan kami semua.Me Roslan pula telah berhijrah keLabuan ada juga balik keRelong.Abang Isa pula dengarnya jadi wali hakim ,diJerantut yang tugasnya menikahkan orang.Saya akhiri edisi ini dengan hadis yang meminta kita menyegerakan berbuka yang " Dari Sahal bin Saad RA, berkatanya Rasulullah SAW : Berbahagialah selalu orang-orang yang menyegerakan berbuka " (Imam Muslim,Terjemahan Hadis Shahih Muslim,2007:239)
Aminudin Ph.D
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment