Sunday, June 6, 2010

Anekdotku 9-Kulat Sisir (Schizophyllum commune)


Kulat sisir adalah sejenis kulat yang boleh dibuat sayur lemak cilipadi yang enak dimakan dengan nasi sebagai lauk.Saya ingatkan kulat sisir ini ketika kami makan dalam kebun getah kami yang hendak ditanam semula getah .Kami selalu juga makan nasi dalam cerang yang kami tanam labu, mentimun tahun dan padi huma.Masa saya kecil, kami sekeluarga menanam pokok getah diBukit Perupuk,Relong. Ketika itu pokok getah asal ditanam secara biji benih yang menjadikan pokok-pokok getah kami besar-besar belaka.Tetapi setelah RISDA memperkenalkan teknologi baru secara benih cantuman (pokok kahwin) kami sekeluarga mengikuti program tanaman semula itu.Bila mengikuti program ini kebun getah kami mendapat bantuan RISDA.Dahulu kami buat sendiri berbanding dengan sekarang semua program itu ditender dan semuanya dibuat oleh kontraktor RISDA.Bila kami sudah menanam anak-anak getah cantum itu , datanglah pegawai RISDA memeriksa kebun kami itu.Kalau lulus, kami akan dapat bantuan dari RISDA.Masa proses tanaman semula inilah pokok-pokok getah yang lama akan ditebang dan biasanya tidak lama selepas itu tumbuhlah kulat-kulat sisir yang kami kutip dan bersihkan selepas dijemur.Selepas itu barulah dibuat sayur lemak cilipadi yang ditaruk juga daun ubikayu atau ubi keledek.Ianya sungguh sedap dimakan dengan nasi yang kadang-kadang kalau ada kuah lebih akan saya makan dengan roti tawar yang dibeli dari India Muslim yang datang kekampung kami dari Kuala Lipis menaiki basikal.

Semasa saya bersekolah diSekolah Menengah Sultan Abdul Halim, Jitra,Kedah ,saya dengan kawan-kawan sebaya memang suka cecah kulit roti yang dipotong oleh tukang masak dikantin dengan kari ayam yang biasa dihidangkan kepada kami dengan nasi beriani setiap hari jumaat.Kalau ada sayur lemak kulat sisir lagi sedap tetapi apakan daya tukang masak sebelah utara non mana tahu masak lemak kulat sisir, buat rojak dan pasembor memang hebat.Hingga hari ini saya masih mencari pasembor dibuat oleh Abang Mamak dekat padang bola depan Masjid Negeri ,Pahang itu yang ada rasa pasembor utara juga.Begitu juga kulat sisir memang ada dijual dipasar minggu bandar Temerloh yang diadakan tepi sungai itu.Namun jarang sangat kita ketemukan orang menjual sayur kulat sisir yang telah dimasak terutama dibulan puasa.Jika ini dibuat saya pasti ia akan laku lebih-lebih lagi kalau dicampur dengan terung manggo dan ikan salai yang akan menyelerakan kita makan nasi.

Hadis berkaitan dengan cendawan adalah dari Said bin Yazid bin Amru bin Nufail RA yang katakan Rasulullah SAW bersabda " Al-Kam-at (cendawan) adalah sejenis manna (sejenis makanan) yang diturunkan Allah Taala kepada Bani Israil yang airnya mengandungi ubat bagi penyakit mata " (Al-Imam Muslim,Terjemahan Hadis Shahih Muslim, 2007:99)

Aminudin Ph.D

Tuesday, June 1, 2010

Anekdotku 8- Abdu Hadi Tukang Urut


DiKampung kami Kampung Relong itu dahulu terkenal dengan seorang tukang urut iaitu Abdu Hadi.Beliau terkenal boleh dikatakan diDaerah Lipis.Dia juga boleh memulihkan orang yang patah.Saya yang juga seorang pemain sukan dan rakan lain seperti Burhan,Abang Nor dan lain-lain kalau terseliuh atau terkehel akan mencari tukang urut atau kami panggil diRelong bergosok dan orang yang dicari tidaklah orang lain kalau bukan Abdu Hadi.Saya sendiri kalau musim buah selalu duduk atas pokok dan sesekali itu tentulah ada jatuh dari pokok manggis misalnya.Maka jatuh dan mengakibatkan terseliuh dan kena bergosok dengan Abdu Hadi.Biasanya bila bergosok dua kali dah baik.Selain dari mengurut Abdu Hadi juga mengubati orang patah.Banyak juga saya dengar orang dari Hospital Lipis datang berubat dengan dia dan banyak yang baik.Hari ini nak cari bomoh patah memang susah, dahulu selain dari Abdu Hadi ada saya dengar ada tok bomoh patah diJeram Landak,Jerantut tetati sejak akhir-akhir ini sudah tidak kedengaran lagi.Tukang urut ini menurut ayah yang sama-sama menunaikan haji dengan ayah saya begitu sihat bogar bila diRelong tetapi bila sampai diMekah ,ayah saya yang kurang sihat jadi sihat, dia pula (Abdu Hadi) tidak sihat dan ayahlah membantu dia semasa ditanah suci itu.

Anak-anak Abdu Hadi kebanyakan tidak mahu mewarisi kepakarannya, saya pula berpendapat zaman sekarang ini kerjaya yang berkaitan dengan kesihatan mendapat pasaran yang baik, dimana misalnya dibandar-bandar sekarang tumbuh macam cendawan pusat kesihatan atau SPA yang menjalankan kerja mengurut.DiKuantan saya tengok pehuh orang berurut kaki terutama dekat Taman Kerang depan Masjid Besar ,Kuantan itu diwaktu pagi malahan tukang urutnya perempuan pulak.Jadi anak Abdu Hadi macam Mat Leper patut mewarisi kemahiran ini.Saya sendiri tidak begitu tahu kenapa namanya digelar Mat Leper, setahu saya kalau tin susu digelek oleh tayar lori boleh menjadi leper.Walaubagaimanapun Mat Leper ini mempunyai kemahiran bermain bola yang baik iaitu boleh mengambil tendangan sudut yang selalunya menghasilkan gol.Mungkin tendangan sudut yang macam meleper itu menjadi Mat Leper mendapat namanya.Selain dari itu saya juga diberitahu oleh kawan-kawannya yang kaki dia boleh kembang bila menyepak bola atau menahan bola yang inilah keistimewaan beliau.Hari ini dekat pesta bola dunia diAfrika Selatan saya teringatkan Abdul Hadi dan anaknya Mat Leper yang membuat saya tersenyum kalau mereka dapat membuat perniagaan urut disana pula.

Hadis yang ada sangkut paut dengan tangan ialah dari Usman bin Abi Ash Ats Tsaqafi RA katanya dia menceritakan kepada Rasulullah SAW satu penyakit yang dideritainya sejak masuk Islam.Maka sabda Rasulullah SAW katanya " Letakkan tanganmu ditubuhmu yang terasa sakit, kemudian ucapkan Bismillah tiga kali , sesudah itu baca tujuh kali : A'udzubillah wa qudratihi min syarri maajidu wa uhadziru "(Al-Imam Muslim,Terjemahan Hadis Shahih Muslim,2007:146)

Aminudin Ph.D

Anekdotku 7-Kini Tiada Lagi Orang Berdikir,Pencaksilat,Tarian Piring dan Tembak Senapang


Masa saya kecil dahulu, bila emak menyebut akan ada saudara khenduri kahwin, saya begitu girang sekali.Ini adalah kerana dapat berjumpa kawan-kawan dan saudara-mara yang akan berkampung dua tiga minggu dirumah pengantin.Berkampung dirumah orang hendak membuat khenduri kahwin adalah bagi persediaan khenduri kahwin tersebut.Diantara kerja-kerja yang dibuat ialah membuat pelantar lelari yang saya ceritakan dalam blog saya http://sungaibatuderelong.blogspot.com.Membuat kuih kering,nasi manis,bahulu dan lain-lain bagi untuk jamuan tetamu yang datang adalah juga kerja-kerja yang dibuat, begitu jugalah gotong-royong meminjam pinggan mangkok,periuk-belangga, kuali serta kawah.Bila tiba pada hari perkahwinan seingat saya semasa khenduri anak Aki Mat iaitu Akak Sabar dan Abang Mat Angat amatlah meriah sekali, maklumlah keluarga ini adalah keluarga seni iaitu Badar,Abang Bedu (M.Z.Alias),Siti Ameh dan Abang Mahyudin adalah penulis-penulis sajak dan rencana ketika itu.Maka adalah berdikir yang berlaku masa itu dirumah khenduri kahwin tersebut.Berdikir masa itu menggunakan rebana dan didendangkan dengan nyaring oleh pendikir masa itu seperti Abang Husin Mandak dari Ulu Teris,Pakambong Ajis dari Berchang dan Abang Tapa dari Relong.Mereka inilah yang melaungkan dikir mereka dengan suara senyaring-nyaringnya dengan lunak dan sesekali saya disuruh mengantar air untuk mereka.Hari ini saya tidak lagi mendengar khabar yang bila orang kahwin diRelong ada acara berdikir.

Begitu jugalah bila pangantin lelaki tiba dirumah pengantin perempuan mereka akan disambut dengan tembakkan senapang sebanyak tiga das yang seingat saya Pakangah Manlah yang sering menembaknya.Kalau saya ada akan saya suruh dia tembak tupai-tupai yang sedang meniti-niti didaham pokok mempelam atau dihujung daun nyor ditempat orang kawin itu.Selepas itu diikuti oleh taburan beras dan bertih yang disediakan oleh tuan rumah yang kadang-kadang boleh masuk dalam lubang hidung kami budak-budak yang lari mutang-manting membuat sibuk.Selepas itu adalah pula pencaksilat yang disampaikan oleh Aki Hod atau Pakbusu Abas atau Abang Nor.Kalau mengizinkan kami dapat melihat Aki Hod meliut-liutkan tangannya menarikan tarian piring yang terdapat lilin diatasnya serta kedengaran bunyi ketukan cincin pada piring yang dipegangnya.Bunyi hentakan jari kepiring ini yang berketing-keting itu membuat saya cukup terpegun dan tidak dapat melupakan kenangan itu walaupun saya selalu dikacau oleh Nuar Kadir yang berdekah-dekah melihat saya terpaku ditempat Aki Hod menarikan tarian lilin itu.Hari ini semua itu tiada lagi bagi kami untuk melihat senerio seumpama itu, jadi inilah kenangan yang dapat saya coretkan kepada generasi yang akan datang bahawa kampung kami deRelong ada berdikir,tarian piring,pencak-silat dan tembak senapang bila ada orang berkahwin.

Hadis berkaitan dengan hiburan apabila orang berkahwin ini saya dapati ada Imam Bukhari dan Ahmad meriwayatkan dari Siti Aisyah RA, bahawa ia pernah membawa pengantin wanita kerumah pengantin lelaki dari kaum Anshar, maka Nabi Muhammad SAW, ada bertanya " Wahai Aisyah tidak adakah hiburan pada mereka ? Sebab orang-orang Anshar itu menyukai hiburan " (Prof.Dr Yusuf Al-Qardhawi,Seni dan Hiburan Dalam Islam,2008:77)

Aminudin Ph.D

Sunday, May 30, 2010

Anekdotku 6-Menjerat Pelanduk dan landak Bersama Pakwe Idin


Memang banyak kenangan saya dengan Pakwe Idin berkenaan menangkap haiwan liar.Pakwe Idin yang tinggal diKampung Keledek masa saya kecil adalah seorang bujang dan bila cuti sekolah saya keKampung Keledek duduk dengan dia ataupun rumah Aki Muhamad tepi sekolah Kampung Keledek itu.Rumah We terletak dalam cerang (sekarang orang memanggil dusun buah) dan bila besar pokok buah ia menjadi kebun buahan-buahan.Masa itu dalam cerang We Idin ditanam labu,mentimun tahun,pisang,keledek,jagong,terung dan lain-lain.Kami tinggal dalam cerang itu untuk menangkap pelanduk dan landak yang datang kecerang kami untuk mendapatkan makanan.Pelanduk mudah ditangkap dengan menggunakan jerat pingkas atau jerat serengkup.Jerat pingkas yang kami buar biasanya adalah dengan satu kayu yang boleh dilentur dan dipasang tali jerat yang dibuat satu pesawat ditanah yang boleh membingkas bila dipijak oleh pelanduk.Namun sebelum itu kami telah membuat denai(lorong) dari reba (biasanya kayu-kayu dan daun-daun kering) seperti resam dan paku-pakis yang akan mengakibatkan pelanduk mengikut denai itu dan akhirnya terjebat dikawasan tali jerat yang dilitupi oleh daun-daun kering atau ranting-ranting kayu.Bagi perangkap serekup pula yang dibuat oleh Pakwe dari kayu-kayu kelat yang diikat dengan akar-akar beluru merupakan serekup yang dipasang pesawat kepadanya bila dipijak oleh pelanduk ia akan jatuh dan serengkup itu akan mengurung pelanduk tersebut.Kedua jenis perangkap yang saya katakan diatas tadi ada kebaikan dan kelebihan masing-masing.Jenis jerat pingkas akan menjadikan pelanduk mati kalau kita lambat pergi menenguknya sebab pelanduk terlalu lama tergantung dan kelaparan yang kemudiannya dia mati.Manakala jerat jenis serungkup pula akan membolehkan kita memperolehi pelanduk yang hidup tetapi ada peluang terlepas bila kita berusaha untuk mengambilnya.

Landak pula kami menangkap menggunakan sangkar besi macam sangkar atau perangkap tikus.Pakwe mendapatkannya dengan menempah khas dari kedai cina dari Bukit Betong.Kami memasang perangkap landak memerlukan kemahiran dalam mencari lubang-lubang landak dalam cerang kami itu.Pakwe tahu semua tempat dimana terdapat lubang-lubang landak itu.Jadi kami akan meletakkan perangkap dihadapan lubang-lubang yang telah dikenalpasti.Dalam perangkap itu kami letakkan umpan yang menjadi kegemaran landak iaitu keledek,ubi kemili,keladi dan kadang-kadang labu.Jadi bila landak cuba untuk mengambil makanan itu maka tutup perangkap pun tertutup dan landak kami perolehi.Pelanduk dan landak mempunyai daging yang sedap dimakan tetapi kenalah dibuang " ipoh " dalam perut pelanduk dan hempedu landak sebelum kita buat gulai.Hinga hari ini saya terkenangkan Pak we Idin yang telah pergi meninggalkan kami dan bila anaknya kahwin ayah saya telah mewali hakimkannya dan Al-Fatihah buat Pak We .

Hadis berkaitan dengan aspek pemburuan dari Syaddad bin Aus RA katanya, " Ada dua pesan Rasulullah SAW yang selalu kuingat dengan baik, iaitu sabda beliau " Sesungguhnya Allah Taala telah mewajibkan supaya selalu bersikap baik terhadap segala-galanya.Jika kamu membunuh (buruan) lakukanlah dengan cara yang baik.Dan jika kamu menyembelih sembelihan, lakukanlah dengan cara yang baik, tajamkan mata pisaumu, sehingga tidak terlalu menyakiti hewan sembelihan " (Al-Imam Muslim, Terjemahan Hadis Shahih Muslim,2007:72)

Aminudin Ph.D

Anekdotku 5-Manggis(Garcinia mangostana)


Manggis sekarang mendapat sambutan yang menggalakan dalam pasaran buah tempatan dan luar negara terutama Jepun dan Eropah.Saya terkejut semasa diTokyo bila bersama dengan ibu angkat saya berjalan-jalan dipasar buah Tokyo yang harganya ketika itu ditahun 1990an telah mencecah kira-kira RM 3.00 ringgit sebiji.Hari ini buah manggis sudah dipanggil raja buah diJepun, mereka kata manis menggila dan berkhasiat.Memang kita dapati jus buah manggis menjadi bahan makanan tambahan sekarang yang boleh didapati difarmasi-farmasi negara kita.Manggis mengingatkan saya semasa zaman kanak-kanak diRelong dahulu.Kalau musim buah yang pasti termasuk manggis saya dapati budak perempuanlah yang lebih lebat dari budak lelaki disungaibatu derelong.Saya masih ingat bila musim buah manggis menjadi banyak buah manggis ini berbuah didekat rumah kami tepi Gua Bama itu, banyak juga dekat rumah Pakangah Man dan yang paling banyak berbuah ialah didusun dekat rumah Akak Milah diCeruk Membebek.Jadi ramailah budak perempuan macam Miah,Nor dan Meah memanjat pokok-pokok manggis yang masak.Buah manggis ini tidak boleh jatuh ketanah kerana ia akan menjadi " kerang"( dailek kata orang Sungaibatu yang bermakna kematu).Jadi untuk memanjat hendaklah dibawa bakul atau kain gendung bagi mengisi manggis-manggis tersebut.Satu keistimewaan pokok manggis ini ialah dahanya liat.Dimana ia payah patah walaupun kita pergi hingga kehujung dahanya bagi mengambil buah.Dalam teknik mengambil buah manggis ini seingat saya MiRoslan yang paling handal dimana boleh sampai kehujung dahan manggis mana sekalipun.

Getah buah manggis merupakan getah yang payah nak tanggal jadi untuk mengelak dari terkena getah manggis kami selalu memanjat manggis tanpa baju.Inilah yang membuatkan budak-budak perempuan yang ikut memanjat dimusim manggis mengejek atau gelihati melihat badan kami yang cantik-cantik ketika itu !.Pokok manggis sebenarnya boleh hidup sehingga 60tahun dan boleh menghasilkan buah yang banyak.Dimasa kami kecil itu emak ada mengatakan manggis muda tidak boleh dimakan dengan gula dan akan menjadi kita cika.Hingga sekarang saya masih belum mengujinya lagi.Akhirnya ada serangkap pantun tentang manggis dan Negeri Pahang iaitu :-

Manisnya manggis bukan kepalang,Bila masak dimakan dek kluang,
Terkenalah sudah SiNegeri Pahang, Adalagi yang miskin dan takberwang.

Manakala hadis berkaitan dengan Buah Delima yang sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud " Sesiapa yang makan satu buah delima sampai habis, maka Allah akan menerangi hatinya selama empat puluh malam " (Dr.Zaid,Penawar Dalam Buah Delima,2009:37)

Aminudin Ph.D

Saturday, May 29, 2010

Anekdotku 4- Paku Larat (Polypodium verrucosum)


Paku banyak jenis paku , diantaranya ialah paku larat (Polypodium verrucosum),paku merah (Blehnum orientale), paku papan (Arcypteris irregularis),paku gajah (Micolepia ridleyi), paku siku (Cyathea burbidgei) dan lain-lain.Bila bercerita tentang paku ini , saya teringatkan dimasa kecil saya dimana dekat Sungai Terislah yang banyak terdapat berbagai-bagai jenis paku.Seingat saya paku larat dan paku merah yang banyak sekali manakala paku gajah pun banyak juga terdapat dikaki Gua Bama.Paku-paku ini kami kutip untuk dibuat sayur bagi lauk kami makan nasi.Paku memang enak digoreng atau dimasak lemak dengan ikan sembilang atau ikan toman.Paku yang digoreng bersama ikan bilis, bawang,lada dan tauchu sungguh enak dimakan .Begitu jugalah paku yang dimasak bersama ikan sembilang atau ikan kering dengan menggunakan cili api sebagai pemedas bagi mereka yang suka digoreng pedas-pedas.Paku juga boleh direbus menjadi ulam untuk makan bersama nasi dengan dicecah sambal belacan atau peda (diKelantan mereka memanggil budu).Memanglah sedap yang tak terkira bagi kami dahulu kalau memakan nasi dengan beras baru terutama jenik yang membuat kami bertambah nasi berkali-kali dan kekenyangan tersandang kedinding rumah.

Paku saya lihat banyak dijual dipekan sari atau pasar tani dinegara kita sekarang.Orang sudah mengemari sayur yang dikatakan tidak ada bahan kimia digunakan bagi pertumbuhannya.Paku dilihat sebagai sayur yang baik berbanding dengan sayur yang ditanam diCameron Highland kerana tidak bahan kimia itu.Paku jenis merah pula memang sesuai dibuat ramuan bubur lambok, dimana saya dapati banyak juga masjid-masjid dinegara ini membuat bubur lambok dibulan puasa dan paku merah memang dicari oleh mereka yang tukang membuat bubur lambok tersebut.Paku gajah pula selain dari boleh dimakan pucuknya ia boleh juga dicampurkan dengan minyak kelapa yang membolehkan ia berbau wangi dan sesuai dijadikan bahan kosmetik, bagi pangkal daun paku gajah kalau dipotong halus-halus secara berkeping-keping dan dikeringkan dan kemudian direbus boleh dijadikan ubat pelawas kencing dan mengeluarkan batu karang.Justeru itu kalau kita ada tanah terbiar dan sesuai ditanam paku ,apa salahnya kita tanam saja pokok paku dan kalau rajin tanamlah dia secara komersia.

Petikan dari hadis dari Ka'ab ibnu Malik RA, katanya " Aku pernah melihat Nabi SAW, mengulum jari-jari beliau tiga kali sesudah makan " (Al Imam Muslim, Terjemahan Hadis Shahih Muslim,2007:92)

Aminudin Ph.D

Thursday, May 27, 2010

Anekdotku 3- Aki Had Tukang Calat

Rumah Aki Had terletak tidak jauh dari rumah paman saya Pakandak Dahan, disinilah juga kami bermain sama Manan, Zahar,Shamsuddin ,Jantan dan beberapa budak lain.Selain dari memanjat pokok buahan yang terdapat banyak dekat rumah Pakandak itu kami juga kadang-kadang membedal buah asam jawa dekat rumah Hassan Titik dan Aki had itu.Aki Had sebenarnya Tukang Calat yang disebut secara biasanya Tokmudin.Kami diRelong memanggil calat yang bererti menghiris sebahagian dari bahagian tertentu, misalnya sianu orang lelaki itu.Aki Had memang ditakuti oleh bebudak lelaki yang akan kena calat.Biasanya budak yang hendak masuk sekolah menengah rendah akan dicalatkan atau dikhatankan oleh Aki Had. Jadi sebelum dicalat keluarga budak tersebut akan membuat khenduri.Jadi saya masih ingat Abang Main anak Pakatih Hassan ada membuat khenduri sebelum dia dicalat.Saya lihat Abang Main ,kelihatan cool sahaja dan tidak takut macam budak lelaki lain.Budak yang takut mungkin anunya ,buta yang mereka jadi takut dan macam nak lari.

Bagi bebudak yang nak kena calat pada hari itu, pagi-pagi lagi telah kena mandi didalam parit atau pergi dekat rumah Pakatih itu.Perigi dekat rumah Pakatih agak besar juga dan airnya sejuk,maklumlah terletak dekat beberapa batu besar yang seingat saya hapus kepala tingginya.Disitulah budak-budak dan abang Main berendam dan setelah beberapa jam mereka disuruh naik kerumah untuk dicalat diatas batang pisang.Mereka dicalat dengan pisau khas Aki Had yang saya kira ditajamkan oleh Hassan Titik yang pandai membuat pisau dan parang.Jadi bagi bebudak yang belum dicalat bila mendengar rakan-rakan mereka menjerit tentulah takut malahan ada juga cuba nak lari.Setahu saya sebelum budak-budak itu dicalat mereka telah dijampi oleh Tok Mudin supaya tahan sakit seperti juga sistem bius yang diamalkan dihospital.Selepas dicalat budak-budak dibaringkan dengan kain pelekat digantung pada siling rumah atau pada dawai yang direntang tengah-tengah rumah.Lepas dicalat itu mereka akan tidak diberi makanan yang berzat sangat kerana takut bentan.

Inilah ingatan saya tentang bercalat dikampung kami dan saya ingatkan peristiwa Abang Main bercalat.Saya pula telah berkhatan diHospital Lipis dan masa itu seingat saya Aki Had pergi berjalan, mungkin kerumah anaknya diJerantut.Namun saya dengan AkiHad memang baik, kami selalu berseloro dan saya selalu berkawan dengan anaknya Dong yang selalu membuatkan gasing untuk saya.Berkenaan bersunat ini sepatutnya digunakan untuk sunat anak perempuan bagi lelaki disebut Khitan.Dalam hal Khitan ini dari Az-Zuhri yang Rasulullah telah bersabda " Siapa yang masuk Islam ,hendaklah berkhitan meskipun ia sudah tua "(M.Abdul Mujieb dan lain,Kamus Istilah Fiqh,1997:160)

Aminudin Ph.D